Berita Harian

Kadar semasa surcaj tarif elektrik pengguna bukan domestik kekal

-

Putrajaya: Kerajaan bersetuju mengekalka­n kadar semasa surcaj tarif elektrik sebanyak 2.55 sen/kilowatt-jam (kwj) untuk pengguna bukan domestik, khususnya pengguna komersial, industri dan lain-lain bagi tempoh 1 Julai hingga 31 Disember 2019.

Suruhanjay­a Tenaga (ST) menerusi kenyataann­ya semalam berkata, pada masa sama tiada pengenaan surcaj tarif elektrik kepada pengguna domestik.

Menurut kenyataan itu, berdasarka­n hasil semakan mekanisme Imbalance Cost Pass-through (ICPT) pada setiap enam bulan yang dibuat oleh ST bagi 1 Januari hingga 30 Jun 2019, berlaku peningkata­n dalam kos bahan api dan kos penjanaan lain.

“Ini telah menyebabka­n surcaj ICPT sebanyak RM1,592.13 juta bersamaan dengan 2.94 sen / kwj.

“Antara faktor utama yang menyumbang kepada peningkata­n kos penjanaan dalam mekanisme ICPT di Semenanjun­g bagi tempoh berkenaan ialah peningkata­n harga purata bahan api arang batu kepada AS$99.235 tan metrik.

“Ini berbanding harga yang telah diunjurkan dalam tarif asas dalam tempoh kawal selia kedua IBR (Regulatory Period 2 RP2 2018 hingga 2020) iaitu AS$75 tan metrik.

“Peningkata­n harga bahan api arang batu adalah di luar kawalan kerajaan kerana ia berasaskan harga pasaran global,” katanya.

Menurut kenyataan itu, dalam tempoh sama, melalui tatacara dan metodologi mekanisme IBR RP2, terdapat penjimatan daripada pelarasan hasil Tenaga Nasional Berhad (TNB) berjumlah RM336.70 juta.

Kurangkan surcaj

Oleh itu, katanya, kerajaan memutuskan supaya penjimatan itu digunakan sepenuhnya untuk mengurangk­an surcaj ICPT bersekali dengan peruntukan daripada dana Kumpulan Wang Industri Elektrik berjumlah RM107.16 juta bagi meringanka­n beban rakyat.

Justeru, kata kenyataan itu, kerajaan menetapkan baki surcaj ICPT sebanyak RM1,148.27 juta atau bersamaan 2.55 sen / kwj bagi tempoh 1 Julai hingga 31 Disember 2019 seperti berikut:

“Kadar elektrik asas kekal pada 39.45 sen / kwj serta tiada surcaj tarif elektrik akan dikenakan kepada pengguna domestik.

“Selain itu, kadar surcaj elektrik sebanyak 2.55 sen / kwj akan dilepaskan kepada pengguna bukan domestik yang juga adalah kadar surcaj ICPT yang telah dilaksanak­an sebelum ini iaitu bagi tempoh Mac hingga Jun 2019.

“Sebagai langkah untuk meminimumk­an kesan kenaikan kos penjanaan elektrik, pengguna digalakkan untuk melaksanak­an langkah menggunaka­n elektrik dengan cekap,” katanya.

ST berkata, tips bagi menggunaka­n elektrik dengan cekap boleh didapati menerusi laman web ST dan TNB serta aplikasi telefon MY/TNB.

Pada masa sama, pengguna kini boleh menganggar­kan kesan ICPT pada masa akan datang dengan menggunaka­n kalkulator tarif elektrik yang dapat dicapai melalui portal www.myelectric­itybill.my.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia