Berita Harian

‘Sayu hati anak bertanyaka­n bapa’

-

Kuala Lumpur: Sayu hati seorang ibu setiap kali anaknya yang berusia empat tahun, bertanyaka­n mengapa ayahnya tidak tinggal bersama di rumah mereka.

Itu antara cabaran dihadapi seorang guru, Norul Huda Rajab, 34, sepanjang menempuh kehidupan sebagai ‘keluarga komuter’ sejak lima tahun lalu, berikutan dirinya berkhidmat di Balik Pulau, Pulau Pinang, manakala suami, Mohd Fadzli Fauzi, 36, pula di Kota Bharu, Kelantan.

Norul Huda yang juga ibu kepada dua anak ini, mengakui berasa tertekan setiap kali anak sulungnya, Falih Ramadhan, empat, bukan sahaja mempersoal­kan kenapa ayahnya duduk berjauhan dengan dirinya namun sering ‘meragam’ sepanjang ketiadaan suaminya itu.

“Keadaan ini semakin mencabar sebab anak sulung sudah semakin membesar dan sering cakap kasihan dia sebab abie (bapa) tinggalkan dia, anak juga tidak mahu bercakap setiap kali ayahnya membuat panggilan video, tetapi sering bertanya mengenai ayahnya itu.

“Selain itu, kesabaran hidup dalam ‘keluarga komuter’ ini selalunya diuji setiap kali anak tidak sihat di mana kita sendiri kena memandu sendiri pada tengah malam untuk menghantar anak ke hospital.

Hanya mampu menangis

“Ketika itu, bila saya sudah tidak boleh mengawal keadaan dengan keadaan anak tidak sihat, saya hanya mampu menangis untuk mengurangk­an tekanan yang saya alami, ” katanya kepada BH, di sini.

Norul Huda berkata, suaminya itu yang bertugas sebagai penjawat awam, akan pulang setiap dua hingga tiga minggu sekali bagi melawat dirinya dan anak-anak selama dua hari dengan menaiki bas.

Katanya, suaminya itu juga pernah terpaksa mengambil cuti tanpa gaji selama dua minggu selepas kehabisan cuti tahunan bagi menguruska­n hal kesihatan anak.

“Selain saya, suami juga banyak berkorban apabila banyak menghabisk­an masa di jalan kerana perlu berulang alik empat kali dari Kelantan ke Pulau Pinang untuk mengambil kami sekeluarga setiap kali mahu pulang ke kampung ke Kelantan sebelum menghantar kami semula ke Pulau Pinang.

“Pernah juga terfikir untuk berhenti kerja, namun memikirkan kekangan kewangan dan keadaan ekonomi yang tidak kukuh, kami harus kuat menempuh dugaan ini, ” katanya.

Bagi menghilang­kan tekanan, Norul Huda berkata, beliau akan memastikan dirinya mendapatka­n waktu masa sendiri dengan pergi membeli-belah atau melakukan aktiviti bersama rakan sebulan sekali.

Berlainan pula kisahnya dengan pasangan komuter, Liza Abdul Ghani, 46, yang menetap di Perlis selama sembilan tahun, manakala suaminya, M Tarmizi Jaafar, 46, pula di Kuala Lumpur.

Cari pengasuh

Beliau yang juga penjawat awam dengan empat anak, berkata cabaran utama sepanjang menjadi keluarga komuter apabila terpaksa berulang-alik ke hospital apabila anak bongsunya sering diserang lelah.

“Itu belum lagi kalau saya mendapat tugasan luar dan cabarannya tentu sahaja saya perlu mencari pengasuh yang boleh bermalam di rumah untuk menjaga anak apabila suami tidak boleh bercuti.

“Selalunya dua minggu sebelum saya ke luar kawasan untuk bertugas, saya akan mencari pengasuh yang boleh dipercayai untuk menjaga empat anak saya,” katanya.

Sementara itu, Nur Shazira Ali, 32, mengakui tewas dalam perjalanan hidup secara keluarga komuter apabila memilih berpisah dengan pasanganny­a akibat tertekan kerana hidup berjauhan.

Nur Shazira yang bekerja di syarikat swasta di Johor, berkata selepas enam tahun berada dalam keluarga komuter, beliau membuat keputusan untuk hidup sendiri bersama anaknya yang berusia dua tahun apabila sudah terbiasa berdikari tanpa kehadiran suami.

 ??  ??
 ?? [FOTO SHAHNAZ FAZLIE SHAHRIZAL/BH] ?? Mohd Fadzli bersama isteri, Norul Huda anak mereka ketika ditemui di Balik Pulau. meluangkan masa bersama
[FOTO SHAHNAZ FAZLIE SHAHRIZAL/BH] Mohd Fadzli bersama isteri, Norul Huda anak mereka ketika ditemui di Balik Pulau. meluangkan masa bersama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia