Berita Harian

Muara Sungai Kim Kim busuk dicemari minyak

-

Pasir Gudang: Selepas berlaku bencana sisa kimia pada Mac lalu, kini lapisan minyak dan bau busuk dikesan di kawasan muara Sungai Kim Kim, di sini.

Ketua Nelayan Kampung Orang Asli Teluk Kabong, Mohun Moen, 32, mendakwa hampir 50 nelayan setempat terjejas berikutan keadaan itu yang turut menyebabka­n hidupan laut di kawasan perairan Selat Johor hampir pupus.

Mohun berkata, nelayan setempat hanya menghidu bau busuk yang kuat sebelum menemui lapisan minyak di sepanjang Selat Johor sejak bulan lalu.

“Mereka kemudian menemui punca lapisan minyak serta bau busuk itu dari kawasan muara Sungai Kim Kim.

“Boleh dilihat tompokan minyak hitam pada tebing sungai dan pokok bakau, bahkan ada hidupan sungai terapung mati. Bau busuknya sama seperti pencemaran sisa kimia sebelum ini.

“Perkara ini pernah diadukan kepada pihak berkuasa, namun belum ada tindakan lanjut. Nelayan Orang Asli tidak lagi dapat mendaratka­n hasil dari muara Sungai Kim Kim dan Selat Johor, malah terpaksa ke Sungai Kong Kong yang jaraknya 20 minit perjalanan dari sini,” katanya di sini, semalam.

Pencemaran 7 Mac

Beliau turut menyertai tinjauan di sekitar lokasi kejadian, selain menunjukka­n lapisan minyak berbau di Selat Johor.

Pencemaran toksik di Sungai Kim Kim 7 Mac lalu itu menjejaska­n hampir 6,000 penduduk termasuk pelajar sekolah sehingga 111 sekolah di Pasir Gudang, di sini, diarahkan ditutup sementara.

Sementara itu, Mohun berharap pihak berkuasa segera memeriksa pencemaran di sepanjang muara Sungai Kim Kim dan Selat Johor kerana ia membunuh hidupan sungai berkenaan.

Nelayan Orang Asli terjejas

“Nelayan Orang Asli mengeluh kerana jika dulu mampu naikkan pelbagai ikan dan udang, namun kini kami tidak berani kerana hidupan sungai berbau minyak dan bimbang menjadi racun apabila dijual atau dimakan orang awam.

“Tolonglah periksa dan bersihkan pencemaran ini kerana jika terlambat hidupan sungai dan laut di perairan Selat Johor akan pupus dan ia merebak meracun kawasan lebih luas,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia