Berita Harian

Kes rasuah Rosmah ke Mahkamah Tinggi

-

Kuala Lumpur: Kes rasuah membabitka­n isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor yang didakwa atas pertuduhan menerima suapan RM5 juta dalam projek bersepadu sistem solar sekolah luar bandar di Sarawak, tiga tahun lalu akan didengar di Mahkamah Tinggi.

Keputusan itu dibuat Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali selepas membenarka­n permohonan pasukan pendakwaan yang diwakili oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib untuk memindahka­n kes berkenaan.

Bagaimanap­un, tarikh pengurusan kes akan ditetapkan kemudian.

Terdahulu, Ahmad Akram memaklumka­n permohonan memindahka­n kes membabitka­n isteri bekas Perdana Menteri itu dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi adalah mengikut Seksyen 417 (1)(e) Kanun Tatacara Jenayah.

Peguam Rosmah tak bantah permohonan

Sementara itu, peguam Datuk Akberdin Abdul Kader, yang mewakili Rosmah tidak membantah permohonan pihak pendakwaan itu.

Pada 10 Mei lalu, Rosmah, 68, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menerima suatu suapan iaitu wang tunai berjumlah RM5 juta daripada Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd, Saidi Abang Samsudin, 60, melalui Rizal Mansor.

Wang berkenaan sebagai upah kerana membantu syarikat berkenaan mendapatka­n Projek Bersepadu Sistem Solar Photovolta­ic (PV) Hibrid dan Penyelengg­araan dan Operasi Gense/diesel bagi 369 sekolah luar bandar Sarawak bernilai RM1.25 bilion secara rundingan terus daripada Kementeria­n Pendidikan.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Kediaman Seri Perdana, Persiaran Seri Perdana, Presint 10 Putrajaya pada 20 Disember 2016.

Pertuduhan terhadapny­a dikemukaka­n mengikut Seksyen 16(a)(a) Akta Suruhanjay­a Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 (1) akta sama yang memperuntu­kkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut yang mana lebih tinggi.

Rosmah sebelum ini turut didakwa atas dua pertuduhan meminta RM187.5 juta dan menerima RM1.5 juta berhubung projek sama dan kes itu terlebih dahulu dipindahka­n ke Mahkamah Tinggi dan akan dibicaraka­n tahun depan.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia