Berita Harian

Usia 75 masih gagah ke laut cari rezeki

Gambar dimuat naik di laman sosial dapat perhatian warganet

- Oleh Noor Hidayah Tanzizi

“Jika tidak keluar ke laut, tak ada ikan untuk dijual dan tiada makanan kami nanti, sebab itu saya gagahkan diri ke laut,” kata Mat Taib Sudin, 75, atau lebih dikenali sebagai Pak Kulup.

Pak Kulup memberi reaksi itu selepas gambarnya pulang mencari ikan di laut yang dimuat naik di laman sosial oleh seorang lelaki mendapat perhatian warganet yang kebanyakan­nya bersimpati

dan kagum kudrat warga emas itu masih ke laut demi mencari rezeki halal.

Kisah itu juga menyingkap kehidupan warga emas berkenaan bersama isteri, Noraini Yunus, 58, yang serba kekurangan dan bergantung dengan hasil tangkapan ikan.

Pak Kulup turut menerima bantuan RM300 sebulan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk kelangsung­an hidup.

Beliau berkata, dia menjadi nelayan dan bekerja dengan majikan memiliki bot pukat tunda serta pukat ikan bilis sejak berusia muda dan tinggal di Bagan Datuk.

Katanya, sebelum ini dia juga selalu menyelam mencari siput dan aktiviti itu menjejaska­n pendengara­nnya sejak empat tahun lalu.

Tiada penyakit kronik

“Saya buat pelbagai kerja dan keluar ke laut lebih 10 tahun dengan bot sendiri, pada usia begini, saya tidak mampu buat kerja lain selain nelayan.

“Alhamdulil­lah, setakat ini saya tiada penyakit kronik, badan masih kuat dan hanya telinga tak dengar, manakala mata agak kabur serta sakit lutut sahaja.

“Saya tetap ke laut mencari ikan untuk sara hidup, selain bantuan kebajikan,” katanya yang berasal dari Rungkup, Bagan Datuk.

Pak Kulup berkata, gambar dirakam lelaki berkenaan diambil Rabu lalu ketika dia pulang dari laut pada jam 11 pagi kerana ribut dan hanya memperoleh sekilogram ikan bolos.

“Saya keluar ke laut mengail ikan setiap hari pada jam 7 pagi hingga 2 petang, namun bergantung kepada keadaan cuaca.

“Saya mengail ikan bolos, gelama dan duri, tetapi biasanya hasil tangkapan tidak menentu dan paling banyak dapat lima kilogram, malah kadang-kadang tiada langsung,” katanya yang mendapat pendapatan kira-kira RM30 sehari.

Saya buat pelbagai kerja dan keluar ke laut lebih 10 tahun dengan bot sendiri, pada usia begini, saya tidak mampu buat kerja lain selain nelayan” Mat Taib Sudin, Nelayan

 ?? [FOTO NOOR HIDAYAH TANZIZI/BH] ?? Pak Kulup bersama isteri di hadapan rumah mereka di Kampung Sungai Limau, Lekir, Sitiawan.
[FOTO NOOR HIDAYAH TANZIZI/BH] Pak Kulup bersama isteri di hadapan rumah mereka di Kampung Sungai Limau, Lekir, Sitiawan.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia