Berita Harian

Kumpulan Black Ruger kecundang

Lima ahli geng samun termasuk ketua ditangkap polis

- Oleh Siti Azila Alias

Polis menumpaska­n kumpulan Black Ruger yang aktif melakukan samun sekitar Sungai Buloh, Petaling Jaya dan Gombak sejak tahun lalu dengan tertangkap­nya lima ahli kumpulan itu termasuk ketuanya.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superinten­dan Shafa’aton Abu Bakar, berkata tangkapan dibuat antara 28 Mei lalu sehingga kelmarin di Sungai Buloh dan Bukit Mertajam, Pulau Pinang susulan satu kes samun di sebuah stesen minyak dekat Sungai Buloh pada 27 Mei lalu.

Katanya, dalam kejadian jam 7.30 malam itu, tiga suspek yang bersenjata­kan sepucuk pistol menaiki Perodua Myvi menyamun di kaunter stesen minyak berkenaan dan membawa lari wang tunai RM2,450 termasuk syiling bernilai RM150.

“Susulan kes itu, bertindak atas maklumat orang awam sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh membuat tangkapan ke atas seorang lelaki berusia 22 tahun di Jalan Kampung Baru Sungai Buloh, sehari selepas kejadian dan merampas sebuah motosikal dan telefon bimbit.

“Hasil soal siasat terhadap suspek pertama berjaya membawa kepada penahanan suspek kedua pada 17 Jun lalu di lokasi sama dengan tangkapan sebelumnya.

“Siasatan ke atas lelaki berusia 37 tahun itu pula kemudianny­a membawa kepada tangkapan suspek ketiga yang juga ketua kumpulan berusia 31 tahun di Bandar Baru Sungai Buloh, pada 19 Jun lalu,” katanya pada sidang media di IPD Sungai Buloh, semalam.

Shafa’aton berkata, hasil maklumat daripada suspek ketiga itu, pihaknya ke satu alamat di Desa Titi Panjang, Bukit Mertajam, Pulau Pinang dan menahan suspek keempat yang bekerja sebagai pengawal keselamata­n berusia 36 tahun.

Rampas pistol

Katanya, soal siasat ke atas lelaki itu kemudian membawa polis ke sebuah stor lori di Jalan Utama Bukit Tengah dan merampas sepucuk pistol jenis Ruger SR9C AZ USA bersama satu kelopak dan 16 butir peluru.

“Berpanduka­n maklumat daripada suspek keempat itu, kita menahan suspek kelima, seorang kelindan lori berusia 27 tahun di Kampung Seri Indah A, Sungai Buloh,” katanya.

Beliau berkata, semakan rekod terhadap kelima-lima suspek mendapati tiga daripada mereka termasuk ketua kumpulan mempunyai pelbagai rekod lampau.

“Suspek ketiga ada 11 rekod dengan 10 membabitka­n jenayah dan dadah serta satu lagi masih dikehendak­i bersabit kes rompak di Sungai Buloh.

“Suspek keempat dan kelima pula masing-masing ada enam rekod lampau yang mana tiga jenayah dan satu kes dadah,” katanya.

Beliau berkata, berdasarka­n siasatan kumpulan itu menyasarka­n kedai runcit, stesen minyak, pasar raya serta samun tepi jalan dan bergerak dalam kumpulan kecil antara dua hingga tiga orang.

Katanya, pihaknya kini sedang memburu dua lagi baki ahli kumpulan berkenaan dan identiti mereka sudah dikenal pasti.

Beliau berkata, empat tangkapan pertama kini direman sehingga 3 Julai depan untuk siasatan lanjut, manakala suspek kelima akan dibawa ke mahkamah bagi mendapatka­n perintah reman hari ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan dan Seksyen 3 Akta Senjata Api Penalti Lebih Berat 1971.

 ?? [FOTO BERNAMA] ?? Shafa’aton menunjukka­n pistol Ruger SR9C Az USA bersama 16 butir peluru yang dirampas daripada kumpulan Black Ruger di Sungai Buloh, semalam.
[FOTO BERNAMA] Shafa’aton menunjukka­n pistol Ruger SR9C Az USA bersama 16 butir peluru yang dirampas daripada kumpulan Black Ruger di Sungai Buloh, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia