Berita Harian

England sasar akhiri badi selepas singkir Norway

-

Le Havre (Perancis): Skuad bola sepak wanita England menetapkan sasaran untuk mengakhiri badi di peringkat separuh akhir apabila menewaskan Norway 3-0 pada suku akhir Piala Dunia Wanita, di sini, kelmarin.

David Beckham antara bintang yang menyaksika­n perlawanan di Stade Oceane itu dengan jaringan England diperoleh menerusi Jill Scott dan Ellen White pada babak pertama sebelum Lucy Bronze meledak gol menarik pada separuh masa kedua.

England kendalian Phil Neville berpeluang untuk menambah jaringan pada penghujung perlawanan tetapi Nikita Parris gagal menyempurn­akan penalti.

Pada edisi 2015, England turut mencatat kemenangan 2-1 ke atas Norway dengan jaringan Bronze tampak serupa tetapi mereka terkandas di pusingan berikutnya dan sekali lagi tumbang di peringkat empat terbaik pada Euro 2017.

Tetapi kali ini, mereka berharap untuk mara lebih jauh sekali pun sedar lawan yang bakal ditentang pada pusingan berikutnya cukup getir sama ada tuan rumah, Perancis atau penyandang juara, Amerika Syarikat (AS).

“Kami adalah pasukan yang tewas di separuh akhir pada dua kejohanan utama dan saya rasa sebab utama saya memikul tugas ini adalah untuk membawa kami melepasi separuh akhir,” kata Neville.

Tidak gentar

“Apa yang saya katakan kepada mereka di penghujung permainan, dan saya tidak malu untuk menyatakan­nya, ‘Adakah kamu bersedia untuk memenangi Piala Dunia’, kerana kami berada di sini untuk menang dan saya fikir kami berada dalam keadaan yang baik.”

Perancis dan AS bertemu di Paris pada awal pagi tadi waktu Malaysia tetapi Neville menegaskan pasukannya tidak gentar dengan lawan yang bakal ditentang.

“Kedua-duanya tidak menakutkan pemain saya. Kami sebenarnya berkata apabila kami layak menentang Jepun, kami berada di laluan yang baik dalam undian disebabkan oleh perlawanan separuh akhir ini.

“Pemain-pemain dan saya mahukan perlawanan yang besar dan ini akan menjadi perlawanan terbesar dalam Piala Dunia,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia