Berita Harian

Bonus menanti Perak jika mara final Piala FA

-

Ipoh: Pasukan The Bos Gaurus mendapat suntikan motivasi paling berharga menjelang pertemuan kedua separuh akhir Piala FA menentang Pahang di laman sendiri malam ini, apabila kerajaan Perak menjanjika­n bonus untuk mereka jika mara ke final.

Mengumumka­n perkara itu di sini, petang semalam, Menteri Besar merangkap Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata pihaknya sudah memaklumka­n kepada pemain mengenainy­a, namun tidak menyatakan jumlah.

“Saya akan memberi sejumlah bonus kepada semua pemain dan pegawai jika mereka berjaya mara ke final Piala FA dan akan memberi sekali lagi bonus jika mereka berjaya membawa pulang Piala FA ke Perak.

“Jumlahnya saya sudah tetapkan dalam kepala, namun belum maklumkan kepada pemain. Tetapi jumlah itu signifikan dan saya percaya pemain akan rasa gembira jika mereka menerima bonus berkenaan,” katanya selepas meninjau latihan skuad The Bos Gaurus di Stadium Perak, di sini petang semalam.

Pada aksi malam ini, Perak dilihat berdepan tugas berat apabila perlu menang sekurang-kurangnya 2-0 ke atas Pahang selepas tewas 1-3 pada aksi pertama di Stadium Darul Makmur, minggu lalu.

Mampu beri tentangan

Ahmad Faizal bagaimanap­un mengingatk­an pemain supaya tidak terlalu memikirkan mengenai bonus berkenaan sebaliknya menetapkan misi untuk membawa pulang Piala FA ke negeri itu yang kali terakhir dimenangi pada 2004.

Beliau yakin Perak selaku tuan rumah mampu memberi tentangan hebat kepada skuad Tok Gajah.

“Walaupun Pahang datang dengan semangat yang tinggi kerana mereka mempunyai kelebihan agregat dua gol, namun hari ini (semalam) kehadiran saya untuk memantau sesi latihan terakhir sebelum perlawanan malam esok (hari ini).

“Saya dapati semangat pemain kita juga begitu kental dan mereka mampu memberi tentangan hebat, malah yakin berjaya mendapat (sekurang-kurangnya) dua gol tanpa dibolosi (malam esok),” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia