Berita Harian

6 rakyat terkandas di Solomon pulang

-

Kuching: “Saya tidak sabar untuk kembali ke pangkuan keluarga selepas mengharung­i kehidupan yang menyeksaka­n di Kepulauan Solomon tanpa gaji dan makanan,” kata Ugot Masam, 31.

Ugot antara enam rakyat Sarawak yang dibawa pulang selepas terkandas di Kepulauan Solomon sejak Mei lalu dipercayai ditindas majikan mereka.

Katanya, selama enam bulan berada di kepulauan itu, dia tidak pernah menerima gaji hasil titik peluh bekerja dalam sektor pembalakan di negara terbabit.

“Saya dijanjikan gaji sebanyak RM7,000 tetapi apabila berada di situ, saya tidak pernah menerima gaji, malah sering dikerah untuk bekerja siang dan malam.

“Kumpulan kami terdiri daripada tujuh orang hanya diberi beras sebanyak 10 kilogram, garam, gula dan beberapa tin sardin bagi keperluan selama sebulan.

“Kami terpaksa mencari sayur-sayuran di hutan seperti rebung, pucuk ubi dan daun yang boleh dimakan sebagai lauk,” katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabang­sa Kuching (LTAK) di sini, semalam.

Selain Ugot, lima lagi rakannya iaitu Edau Mengit, 45; Melingang Laja, 43, dan Ricky Alex, 26, yang berasal dari Kapit serta Denis Anyie Ngau, 46, dan Anyie Ngau, 43, dari Baram, Miri dibawa pulang menerusi Singapura.

Hidap malaria

Menurut Ugot yang berasal dari Kapit, sepanjang berada di kepulauan pasifik itu, dia dimasukkan ke hospital sebanyak tiga kali kerana disyaki menghidap malaria.

“Ketika itu, saya hanya teringat isteri dan tiga anak berusia antara satu hingga enam tahun yang berada di kampung.

“Sudahlah selama enam bulan di sana, saya tidak pernah memberi sumber kewangan kerana tidak dibayar gaji.

“Ini adalah kali pertama saya bekerja di negara itu selepas diperkenal­kan seorang kawan kepada majikan terbabit,” katanya.

Menurutnya, tiga rakan lain iaitu Edau, Melingang dan Ricky pernah bekerja di negara itu sebelum ini pada tahun lalu tetapi bernasib baik kerana mendapat majikan yang baik.

“Namun, nasib tidak menyebelah­i mereka pada kali ini kerana baru saja sebulan di Solomon, mereka juga tidak dibayar gaji malah terpaksa menanggung hutang kira-kira RM4,000 seperti dimaklumka­n oleh majikan.

“Saya sendiri pula perlu membayar hutang kira-kira RM18,000. Saya tidak tahu hutang itu sebenarnya hutang apa sedangkan kami tidak dibayar gaji,” katanya sambil memberitah­u diugut bunuh sekiranya mahu melarikan diri daripada kawasan pembalakan itu.

Masalah dengan majikan

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan, Dennis Ngau, berkata operasi menyelamat­kan kesemua mangsa itu adalah hasil usaha Timbalan Ketua Menteri yang juga ADUN Baleh, Tan Sri James Jemut Masing dengan kerjasama Wisma Putra.

“Semua mangsa terbabit terkandas di Kepulauan Solomon selepas menghadapi masalah dengan majikan yang membawa mereka bekerja dalam industri balak di sana.

“Mereka datang ke Pejabat Konsul Kehormat Malaysia di Kepulauan Solomon pada 13 Mei lalu untuk mengadu mengenai keadaan mereka,” katanya.

Dennis berusaha mengumpulk­an bantuan bagi membeli tiket penerbanga­n yang difahamkan berharga RM3,800 seorang.

Usaha membawa pulang rakyat Sarawak itu turut dibantu Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah; Ketua Setiausaha Kementeria­n Luar, Datuk Seri Muhamad Shahrul Ikram Yaacob dan Pesuruhjay­a Tinggi Malaysia di Port Moresby, Mohamad Nasri Abdul Rahman.

Turut membantu Konsul Kehormat Malaysia di Kepulauan Solomon, Hii Yii Ging; Setiausaha Ketiga Suruhanjay­a Tinggi Malaysia di Papua New Guinea, Mohd Rezza Mohd Yusof dan Ahli Parlimen Hulu Rajang, Datuk Wilson Uggah.

 ??  ?? Dennis Ngau
Dennis Ngau

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia