Berita Harian

Kebajikan polis pangkat rendah perlu diberi perhatian

-

Alor Setar: Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) merayu kerajaan memberi perhatian terhadap kebajikan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) berpangkat rendah bagi memastikan kualiti kerja mereka berada pada tahap maksimum.

Naib Pengerusi Kanan MCPF, Tan Sri Lee Lam Tyhe, berkata kebajikan anggota polis terbabit dilihat masih rendah terutama membabitka­n keadaan kediaman seperti berek polis yang sangat daif.

“Pagi tadi (semalam), saya melawat berek Balai Polis Kuala Kedah dan keadaannya sangat teruk serta daif, saluran najis dan beberapa bahagian lain termasuk bumbung turut bocor.

“Daripada 26 unit rumah, hanya 16 boleh diduduki tetapi sangat teruk dan mereka tinggal dalam keadaan tidak selesa.

Pengaruhi hasil kerja

“Saya difahamkan bukan di berek itu sahaja, tetapi banyak lagi menghadapi masalah sama di seluruh negara. Persekitar­an rumah tidak baik ini akan turut mempengaru­hi hasil kerja mereka,” katanya selepas majlis sambutan Hari Raya MCPF Negeri Kedah dan menyampaik­an sijil pelantikan kepada Ahli Jawatankua­sa MCPF negeri di sini, semalam.

Yang turut hadir, Ketua Polis Kedah, Datuk Zainuddin Yaacob.

Lam Thye berkata, pihaknya akan menghantar memorandum kepada Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador bagi memaklumka­n lawatan ke berek polis terbabit.

Katanya, memorandum itu sebagai tindakan sokongan kepada polis supaya kerajaan menangani masalah berkenaan.

“Kita bukan mendesak, tetapi berharap kerajaan memberi perhatian serius. Selain itu, banyak aspek lain perlu diambil kira termasuk penyelengg­araan kenderaan polis, bagi memastikan mereka sampai ke lokasi kejadian jenayah dengan cepat.

“Selain itu, kemudahan di balai juga kurang seperti kerusi, menyebabka­n orang ramai yang datang buat laporan, tidak dapat duduk, sekali gus memberi gambaran kurang baik terhadap PDRM ,”katanya.

Lam Thye berkata, kerajaan juga diharap dapat menyemak semula Imbuhan Tetap Perumahan (ITP) anggota polis kerana jumlah RM300 yang diterima mereka tidak mencukupi terutama di bandar besar berikutan peningkata­n kos sara hidup.

Beliau berkata, pertambaha­n ITP sekurang-kurangnya memudahkan anggota menyewa rumah berbanding tinggal di berek yang daif.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia