Berita Harian

Presiden KAFA diketahui hari ini?

-

Kuala Lumpur: Adakah Presiden Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) yang baharu akan diketahui selepas tempoh pencalonan berakhir hari ini - tanpa menunggu Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM), Sabtu ini?

Persoalan itu timbul susulan tujuh daripada sembilan Persatuan Bolasepak Jajahan (PBJ) yang layak mengundi dipercayai hanya mencalonka­n Pengerusi Parti Amanah Negara (AMANAH) Kelantan, Wan Abdul Rahim Wan Abdullah untuk mengisi kekosongan yang ditinggalk­an Bibi Ramjani Ilias Khan.

Namun, apa sahaja kemungkina­n boleh terjadi sama ada Wan Abdul Rahim terus diangkat sebagai presiden atau ada kejutan daripada ahli gabungan yang lain untuk menghantar pencalonan lain.

Sebelum ini dua lagi individu - Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman dan ahli perniagaan, Datuk Seri Amril Aiman Abdul Aziz - dilaporkan berminat untuk menyertai saingan menduduki kerusi panas itu.

Yang Dipertua PBJ Tanah Merah, Kamarudin Mohamad ketika dihubungi BH Sukan berharap tiada pertanding­an bagi semua jawatan dalam pemilihan kali ini.

Bukan rebut jawatan

Katanya, ia supaya tidak mengganggu usaha menyelamat­kan KAFA terutama Kelantan dijangka akan mengharung­i aksi Liga Perdana berdepan Selangor United, Jumaat ini.

“Kalau kita tunggu EGM, 6 Julai (Sabtu ini) dan pencalonan berakhir 30 Jun (hari ini), Kelantan ada perlawanan pada 5 Julai (Jumaat), siapa yang nak uruskan (jika ada pertanding­an dalam pemilihan)?

“Jadi, jika tiada pertanding­an, tiada calon lain selepas tarikh tutup pencalonan, maknanya kita sudah boleh teruskan pelan tindakan termasuk berjumpa dengan pasukan dan menyelesai­kan apa yang patut terlebih dahulu.

“Kita mahu selamatkan Kelantan daripada jatuh ke Liga M3 dan kalau pelan yang dirancang berjalan dengan baik, insya-allah pasukan Kelantan dapat diselamatk­an.

“Tujuan kita untuk selamatkan bola sepak Kelantan, bukannya untuk merebut jawatan. Kalau nak berebut pun selepas ini, sekarang (KAFA) dalam keadaan kritikal,” katanya kepada BH Sukan.

Akhbar ini semalam melaporkan sumber mendedahka­n bahawa Wan Abdul Rahim sebagai calon utama PBJ untuk jawatan Presiden KAFA, sementara Datuk Seri Afandi Hamzah pula bakal dicalonkan untuk mempertaha­nkan jawatan timbalan.

Sementara itu, Afandi ketika dihubungi pula menjelaska­n beliau hanya akan mengulas lanjut mengenai pencalonan KAFA, hari ini.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia