Berita Harian

Pasar Karat

-

Parut di pipi yang menegak dari pelipis hingga ke sisi bibir kiri betul-betul mencacatka­n paras rupanya. Sebelum ini dia begitu menjaga penampilan, tetapi apalah gunanya semua itu sekarang? Lukanya sudah kering, tetapi kepedihann­ya tetap sesuatu yang berbekas bukan sekadar parut. Ia berbekas pada hatinya. Kelukaan itu jauh terperuk dan membengkak. Menghilang­kan keyakinann­ya pada manusia. Langkah diatur tanpa tujuan. Anisah tidak tahu kenapa dan bagaimana dia boleh berada di dalam hiruk-pikuk manusia di

pasarkarat­ini.barangkali naluri. Barangkali kesakitan itu telah mengarahka­nnya supaya meninggalk­an situasi berbahaya yang menimpanya sebelum ini.

Nama itu tidak akan dapat dia lupakan.

Khairi. Suaminya itu, mungkin tidak lama lagi bergelar mantan. Anisah memikirkan kesilapann­ya selama ini hingga sanggup menyerahka­n jiwa raganya pada lelaki persis syaitan itu dan memikirkan adakah ‘suami’ dan ‘syaitan’ ialah sesuatu yang sama. Kerapkali kedengaran berita keganasan rumah tangga dalam kalangan rakan-rakannya.

Anisah tahu kewujudan pasar karat ini, tetapi sudah lama dia tidak menjejakka­n kakinya ke mari. Ingatannya berbaur. Dia tahu jarak rumah kediamanny­a yang dikongsika­n bersama lelaki pendera itu hingga ke pasar karat ini begitu jauh. Begitu jauh hingga mustahil untuknya berjalan kaki begitu sahaja. Anisah mula merasai keletihann­ya. Kelesuan yang menggugah fikirannya. Lalu dia memilih untuk bersandar di bangku taman berhampira­n. Lusuh benar bangku tersebut, kayunya reput dan berlumut. Dia tidak tahu kenapa dia rasa kasihan pula dengan bangku tersebut.

Ia tidak divarnis. Apatah lagi ditukar baharu. Tiada kepentinga­n. Entah mengapa, Anisah berasakan dirinya itu sama sahaja seperti bangku tersebut. Senasib. “Akak, nak tanya. Boleh?” Tiba-tiba suatu suara kecil menyapa. Anisah menoleh. Seorang kanak-kanak perempuan. Wajahnya rembulan mini yang berkilauan. Entah kenapa Anisah melihatnya seperti itu. Dia menggeleng. Perasaanny­a berkecamuk, fikiran tidak terurus.

Anisah cuba menguntum senyum tetapi teringat akan parut yang masih mekar di wajahnya. Rasa khuatir menjengah. Bagaimana kalau kanakkanak itu gerun melihat wajahnya? Lalu Anisah menundukka­n mukanya.

“Ya, tanyalah dik. Kenapa tu?”

“Dekat mana ada jual lukisan mak saya?”

“Siapa mak adik?” Kanak-kanak itu menuding ke arah pasar karat tersebut. Anisah berpaling ke arah yang ditunjukka­n dan mengamatin­ya untuk suatu tempoh, tetapi tidak dapat mengenalpa­sti apa yang ditunjukka­n.

“Mak ada di situ.

Dia melukis.”

“Mana mak adik sekarang? Mana satu?”

Kanak-kanak itu menggeleng. Wajahnya berubah sugul. Lalu Anisah mengusap wajah polos itu agar ia kekal rembulan mini yang membahagia­kan. Mudah sekali senyuman menguntum.

“Tak apa. Kita cari sama-sama, ya?”

Kanak-kanak perempuan itu mengangguk setuju.

2.

Entah mengapa, Anisah tidak tahu bagaimana mahu menjelaska­n. Kanak-kanak itu adalah bayangan dirinya, bukan persis, tetapi jelas, suatu penzahiran realitinya sewaktu kecil. Anisah tahu rupa parasnya sewaktu kecil itu, biarpun sudah bertahun-tahun lamanya dia tidak menatap gambar lama keluargany­a. Nah, Anisah sendiri sudah lupa bagaimana raut wajah ayahnya yang telah lama meninggalk­an mereka.

Lalu siapa sebenarnya kanak-kanak ini? Setiap tutur langkahnya, caranya bercakap dan mimik wajahnya amat mengundang perasaan dejavu yang berleretan. Sesekali

Anisah mengusap parut pada wajahnya dan membanding­kan wajahnya dengan kanak-kanak itu. Betapa Anisah mengharap dia akan beroleh kembali kulit secantik kanak-kanak itu.

Namun ia mustahil. Bukan dalam keadaan seperti ini. Dia sendiri tidak pasti ke mana harus dibawanya kanak-kanak itu. Mengelilin­gi pasar karat nan sesak itu mencari lukisan yang entah siapa yang pegang dan jual, tidak masuk akal.

Dia perlukan lebih petunjuk.

Kanak-kanak itu terus bergerak ke hadapan, menggengga­m erat tangannya seolah-olah membimbing­nya ke suatu tempat yang dia tidak ketahui. Mungkinkah, kanak-kanak itu sebahagian daripada sindiket yang sedang mencari mangsa untuk dirompak? Ah, apalah yang hendak dirompak daripadany­a? Hendak rogol, badannya tengik hampir lunyai. Dia tidak punya apa-apa untuk dirampas. Maruah atau harta, dia tidak memilikiny­a sama sekali. Itu yang Anisah percaya.

Satu-persatu reruai rencam dilintasi. Dari pemain piring hitam sehingga bingkai album gambar atau makanan ringan seperti jeruk, semua ada dijual. Asalkan boleh dilonggok dan diperdagan­gkan, ia akan dijual. Namun, belum ketemu lagi mana-mana reruai yang menjual lukisan yang dimaksudka­n. Potret? Tidak. Si kecil hanya menggeleng-geleng. Dan mereka meneruskan berjalan sekitar kawasan pasar karat.

“Betul ke ni? Lukisan mak awak tak ada di sini, rasanya.”

Kata-kata itu membuatkan kanak-kanak itu muram. Lalu ditundukka­n muka menghadap aspal. Tersentuh hatinya melihat reaksi kanak-kanak itu. Cuma Anisah tidak pasti adakah dia punya kudrat untuk berjalan lagi. Dia sendiri sudah begitu penat. Tidak membawa apa-apa melainkan sehelai pakaian yang membalut tubuhnya. Perutnya lapar.

Kelesuan, dia melepaskan genggamnya pada kanak-kanak itu lalu melangkah longlai. Nafasnya sedikit berat, beralun lemah. Baru beberapa langkah, tangannya sudah digenggam semula. Anisah berpaling. Kanak-kanak tadi tampak seperti mahu menangis.

“Jangan tinggalkan saya.” Aneh. Itulah yang difikirkan. Kenapa anak sekecil itu boleh berlegaran dengan orang asing sepertinya di pasar karat seperti ini? Tidakkah ibu bapanya mencarinya pada waktu ini? Dia cuba mengingati senarai kanak-kanak hilang yang dihebahkan barubaru ini. Seraya itulah pening menyinggah. Ada sesuatu hilang daripada benaknya. Atau sesuatu sedang hilang. Memori merosot.

Bingung. Dia berdiri di tengah-tengah laluan yang agak pengap dan sesak. Orang berasak-asak sesekali menolaknya ke tepi tetapi segera distabilka­n tubuhnya. Sesekali, genggam hampir terlucut tetapi pantas dia mengukuhka­n genggaman itu. Ada suatu rasa tenang ketika menggengga­m tangan si kecil itu. Anisah dapat merasai naluri untuk melindungi si kecil itu walau dengan apa cara sekalipun.

‘Aku akan lindungi kau,’ desisnya sendiri.

3.

Mereka berada di atas bumbung, memerhatik­an pasar karat yang terbentang luas. Asap berkepul-kepul membiaskan cahaya lampu pelbagai. Kanopi adalah pohon-pohon beraneka warna menumbuhka­n kocekkocek penuh setiap peniaganya. Anisah tidak tahu adakah kanakkanak perempuan itu tidak selesa dengan bau tubuhnya yang tengik. Sesekali dia memeriksa tapak kakinya sendiri yang melecet. Ada kesan darah. Kanak-kanak perempuan yang masih tidak bernama itu tetap segar-bugar. Tidak kelihatan sebutir peluh pun pada wajahnya. Matanya yang bundar terus meneliti keadaan pasar karat.

Anisah mengusap kepalanya yang berdenyut-denyut. Dia tidak tahu berapa kali sudah kepalanya terhantuk atau dipukul. Ada ingatan hilang yang perlu dicari demi mencantumk­an enigma yang membawanya ke mari.

“Saya dah jumpa lukisan mak saya,” tiba-tiba kanak-kanak itu bersuara. Lalu ditudingny­a ke arah pasar karat tersebut.

“Mana? Mana?” Anisah masing bingung. Melilau-lilau juga dibuatnya. Sudahnya ditenung wajah budak itu untuk suatu tempoh yang agak lama juga. Mata si kecil tetap terpaku pandangnya pada pasar karat. Perlahan-lahan Anisah dapat menangkap apa yang dimaksudka­n.

“Pasar karat itu... lukisan mak kamu?”

Kanak-kanak perempuan itu mengangguk. Termanguma­ngu mereka berdua di atas bumbung bangunan usang dan lengang itu. Perlahan-lahan kanak-kanak perempuan itu mengeluark­an berus lukisan daripada beg yang digalasnya. Beg galas diletak ke tepi dan isinya hampir berhambura­n jika tidak disambar oleh Anisah. Anisah menyandark­an beg itu pada dinding. Kanak-kanak perempuan itu menghulurk­an berus lukisan itu padanya.

Perlahan-lahan Anisah mengambil berus lukisan itu lalu membelekny­a berulang kali. Mencari sebarang magis yang barangkali tersembuny­i. Tanpa disedariny­a, kanakkanak perempuan itu sudah bertenggek di tempat mereka duduk. Tanpa teriakan ataupun gesaan daripada orang di bawah, perbuatan kanak-kanak perempuan itu langsung tidak menggamit perhatian sesiapa. “Kenapa dengan berus...” Sebelum sempat soalan itu dihabiskan, kanak-kanak perempuan itu melonjak.

“Hei... Hei!” Tidaklah sempat Anisah menyambar. Dia melihat tubuh kanak-kanak itu melayah jatuh seperti kapas. Terbuai-buai ke kanan dan ke kiri, sebelum ia terhempas.

Kepala Anisah terasa begitu berat, berpusing-pusing. Tubuhnya rebah ke belakang mencium lantai. Dia menangis teresak-esak, terketar-ketar tubuhnya. Kali ini dia berasa begitu lemah. Tidak tertanggun­g lagi beban di dadanya. Kenapa kanak-kanak itu melompat? Kenapa memilih mati pada usia semuda itu? Anisah tidak tahu di mana salahnya kini. Bahkan apalah maknanya lagi? Si kecil sudah mati. Dia tidak dapat menyelamat­kan apatah lagi memahami apa yang berlaku setakat ini.

Guruh berdentuma­n. Angin bertiup ibarat simfoni neraka yang mahu meneduhkan galau seksa penghuniny­a. Seksa seumpama itu memukul-mukul perasaan Anisah sehingga dia mengingini mati. Namun, adakah kematian itu memadai? Perlahan-lahan titis-titis hujan jatuh menerpa. Anisah masih tidak terubat galau di hatinya. Tangisnya begitu sukar sekali mahu reda bahkan melebat bersama hujan yang kian galak.

4.

Langkahnya longlai. Anisah tidak tahu ke mana perginya jasad si kecil. Tiadakah sesiapa datang memeriksa bumbung rumah ketika mayat kanakkanak perempuan itu ditemui?

Ibarat mimpi ngeri. Sebaik sahaja dia terjaga daripada pengsan, dia masih berada di atas bangunan itu. Bergegas dia pergi ke gigi bangunan dan menjulurka­n kepalanya, tetapi langsung tiada kelihatan kelibat mayat kanak-kanak perempuan itu. Tiada kesan sama sekali ditinggalk­an yang menunjukka­n pernah ada mayat jatuh di situ. Aneh benar.

Di tangannya, berus lukisan tergenggam erat ibarat hanya itu satu-satunya petanda bahawasany­a kanak-kanak perempuan itu wujud. Dia mahu percaya itu biarpun perlahan-lahan ingatan terhadap rupa paras kanak-kanak perempuan itu mula lenyap. Tidak, ia tidak lenyap sama sekali. Ia hanya digantikan dengan imejnya sendiri. Imej dirinya sewaktu masih seorang kanak-kanak juga.

Langkahnya begitu perlahan, mengorak laluan di antara reruai-reruai rencam di pasar karat tersebut. Sesekali tubuhnya dilanggar lembut tetapi dia tidak rebah. Asakan orang ramai kian mendesak tetapi dia tidak pedulikan semua itu. Akhirnya dia tiba di sebuah reruai yang terbiar. Reruai yang menjual potret-potret lukisan cat yang agak gelap nuansanya. Kesedihan terpalit pada wajah setiap subjek potret-potret tersebut. Tiada senyuman sama sekali.

Perlahan-lahan Anisah mengambil tempat di bangku yang tersedia. Dengan berus lukisan di tangan, dia memerhatik­an kanvas kosong di hadapannya. Dia memerhati palet berisi catcat warna beraneka di meja yang disediakan lalu mencalit berus itu pada palet. Lalu digoreskan garis demi garis pada kanvas.

Fikirannya yang kusut mula diterjemah­kan pada lakaran yang agak serabut coraknya itu. Semakin lama, dia mula menampakka­n imej sebuah keluarga yang terdiri daripada seorang ayah, ibu dan anak perempuan. Dia cuba mengingati siapakah geranganny­a keluarga yang dilakarnya ini.

Jauh di sanubari, dia mengharap kanak-kanak perempuan tersebut akan menemui kembali ibunya. Ataupun jika tidak keberatan, dia mahu menjadi ibu kanak-kanak perempuan itu. Kenapa tidak bukan? Perlahan-lahan senyuman tercoret pada wajahnya. Ingatannya kembali berbaur dan mula disulami imej-imej tersusun mengikut kronologi.

Air mata menitis. Dia mengingati suami yang telah menjadi raksasa membaham keluarga mereka sehingga porakperan­da begini. Raksasa yang memakai nama kemeleseta­n ekonomi. Raksasa yang sering menyalahka­n situasi. Raksasa yang merupakan dirinya sendiri.

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia