Berita Harian

Budak meninggal dunia selepas bermain tumbuk

Mangsa dipercayai alami kecederaan dalaman

- Oleh Safuri Kamarudin bhnews@bh.com.my

Seorang kanak-kanak meninggal dunia dipercayai mengalami kecederaan dalaman ketika bermain tumbuk-menumbuk dengan bapa saudaranya di rumah mereka di Kampung Bandar, Siong, semalam. Mangsa, Muhammad Azfar Qayyum Md Said, yang berusia enam

tahun, disahkan meninggal dunia ketika diperiksa pasukan perubatan Hospital Baling pada jam 2.15 petang.

Pemangku Ketua Polis Baling, Superinten­dan Abd Fatah Abd Rahman, berkata pihaknya menerima maklumat daripada pihak hospital yang memaklumka­n seorang kanakkanak meninggal dunia ketika pemeriksaa­n di hospital.

Ditemui tidak bergerak

“Berdasarka­n keterangan keluarga, mangsa ditemui dalam keadaan tidak bergerak di dalam bilik rumahnya pada jam 1 tengah hari.

“Keluarga mangsa kemudian membawanya ke Hospital Baling, namun pemeriksaa­n doktor mendapati mangsa dipercayai meninggal dunia kira-kira empat jam sebelum itu,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Abd Fatah berkata, hasil pemeriksaa­n awal pada badan mangsa menemui beberapa kesan lebam pada bahagian kepala dan badannya.

“Berdasarka­n keterangan keluarga, mangsa ada bermain bersama dengan bapa saudaranya berusia 16 tahun yang juga pesakit sindrom down pada malam semalam (kelmarin).

“Mereka dikatakan bermain tumbuk-tumbuk, namun berhenti selepas ditegur ahli keluarga. Mangsa dipercayai mengalami kecederaan dalaman akibat kejadian itu,” katanya.

Berikutan itu, polis menahan bapa saudara mangsa petang semalam bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar untuk bedah siasat.

 ??  ?? Muhammad Azfar Qayyum Md Said
Muhammad Azfar Qayyum Md Said

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia