Berita Harian

Analisis siap bulan depan

Syor kerajaan negeri buat penempatan semula kilang berisiko tinggi

- Oleh Ilah Hafiz Aziz ilahhafiz.abdulaziz@bh.com.my

Bangi: Analisis bagi menempatka­n semula kilang berisiko tinggi di Pasir Gudang akan diserahkan kepada kerajaan Johor bulan depan untuk tindakan lanjut, kata Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin.

Beliau berkata, analisis itu dijangka selesai dalam tempoh lima minggu dan segala penemuan akan dikemukaka­n kepada kerajaan Johor.

“Kami juga akan memberi cadangan yang patut dilakukan termasuk penempatan semula kilang yang berisiko tinggi,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Cabaran Low Carbon Cities di Greentech Malaysia di sini, semalam.

Yang turut hadir pada program itu ialah pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Greentech Malaysia, Syed Ahmad Syed Mustafa.

Bee Yin berkata, walaupun tiada kesan anomali, pembanguna­n di Pasir Gudang adalah terlalu padat dan terdapat kira-kira 2,000 kilang di kawasan terbabit dengan 257 daripadany­a adalah berasaskan kimia.

“Ketika ini, kita kena tahu sekolah mana, kilang mana dan lokasi mana akan terjejas dengan perkara ini. Apa yang penting kita sudah periksa dan mengarahka­n kilang yang terbabit ditutup jika dikesan mengeluark­an bahan kimia,” katanya.

Bee Yin berkata, sehingga hari ini Jabatan Alam Sekitar (JAS) sudah memeriksa semua 257 kilang berasaskan bahan kimia di Pasir Gudang.

Katanya, daripada aktiviti penguatkua­saan yang dijalankan, sebanyak tiga syor tindakan mahkamah dilakukan dan 12 kilang sudah ditahan operasi.

Ditanya mengenai punca pencemaran itu, Bee Yin berkata perkara itu akan diketahui selepas hasil analisis diperoleh.

Katanya, ada pelajar yang menunjukka­n simptom seperti sesak nafas dan sebagainya walaupun indeks kualiti udara menunjukka­n bacaan normal serta positif.

“Ini berbeza dengan Sungai Kim-kim. Dalam insiden itu, melalui ujian air kencing dan juga darah terdapat kesan kimia. Namun, di Pasir Gudang ia adalah sifar.

“Sama ada mereka terhidu bahan kimia atau tidak, JAS sudah melakukan tindakan lanjut bagi mengatasi pencemaran itu,” katanya.

 ?? (Foto Azhar Ramli/bh) ?? Bee Yin merasmikan Cabaran Low Carbon Cities di Greentech Malaysia di Bangi, semalam.
(Foto Azhar Ramli/bh) Bee Yin merasmikan Cabaran Low Carbon Cities di Greentech Malaysia di Bangi, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia