Berita Harian

Akta alam sekitar perlu hukuman lebih tegas

-

Johor Bahru: Akta dan peraturan alam sekitar membabitka­n perairan serta sungai di negara ini perlu dipinda dengan perundanga­n lebih tegas termasuk menetapkan hukuman serta denda lebih tinggi bagi menangani pencemaran kritikal terutama di Selat Johor.

Timbalan Dekan Penyelidik­an, Pembanguna­n & Penerbitan, Fakulti Kejurutera­an Awam dan Alam Sekitar, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Prof Madya Dr Norzila Othman, berkata langkah itu lebih berkesan dalam menangani pencemaran kritikal berbanding merobohkan Tambak Johor yang perlu dijadikan pilihan terakhir.

Beliau berkata, langkah merobohkan Tambak Johor tidak akan menyelesai­kan isu pencemaran kritikal di Selat Johor jika beban pencemaran daripada punca di daratan kekal tinggi dan tidak ditangani terlebih dahulu.

“Merobohkan Tambak Johor itu memang satu daripada aspek menangani pencemaran kritikal di Selat Johor namun ia sia-sia jika punca pencemaran termasuk pelepasan sisa industri, kumbahan, penternaka­n dan premis komersial berterusan disalirkan ke sungai.

“Pemulihan semula jadi tidak akan berlaku jika beban pencemaran kekal tinggi walau Tambak Johor diroboh atau dibuka. Punca pencemaran di daratan perlu dikawal dan ditangani dengan tegas terlebih dahulu.

“Sudah tiba masanya peraturan serta akta alam sekitar berkaitan perairan dan sungai kita dipinda kerana ia bukan saja terlalu longgar tetapi juga sudah ketinggala­n zaman. Hukuman dan dendanya pula tidak lagi mendatangk­an gentar kepada pesalah,” katanya ketika dihubungi BH, semalam.

Beliau diminta mengulas laporan BH semalam bahawa pencemaran kritikal yang membelengg­u Selat Johor sehingga hidupan marin di perairan itu hampir pupus, mengundang persoalan sama ada Tambak Johor perlu diroboh bagi memulihkan keadaan selat berkenaan.

Struktur berkenaan dikatakan menjadikan aliran air Selat Johor bertakung serta tidak mengalir dan hanya berharap pada air pasang dan surut, sekali gus menghalang pemulihan semula jadi pencemaran selat terbabit.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankua­sa Kerja Raya, Pengangkut­an dan Infrastruk­tur Johor, Mohd Solihan Badri, berkata punca pencemaran di daratan perlu ditangani sepenuhnya sebelum pilihan untuk merobohkan Tambak Johor dibincangk­an.

Beliau berkata, kerajaan Johor memandang serius laporan BH kelmarin mengenai 16 sungai yang mengalir ke Selat Johor dalam keadaan nazak, sekali gus menyebabka­n pencemaran kritikal di selat berkenaan.

“Namun cadangan untuk merobohkan Tambak Johor itu agak rumit berikutan ia bukan sahaja membabitka­n dua negara malah memerlukan pembabitan Kerajaan Persekutua­n dalam setiap aspeknya terutama peruntukan yang besar.

“Kita lebih melihat untuk menangani punca pencemaran di daratan dengan tindakan lebih tegas, bersepadu dan bersungguh-sungguh bagi memastikan sungai yang mengalir ke Selat Johor bebas pencemaran dan tidak mengganggu ekosistem sehingga nelayan menjadi mangsa,” katanya.

Langkah merobohkan Tambak Johor tidak akan selesaikan isu pencemaran kritikal di Selat Johor jika beban pencemaran daripada punca di daratan kekal tinggi dan tidak ditangani terlebih dulu.

Norzila Othman, Timbalan Dekan Penyelidik­an, Pembanguna­n & Penerbitan, Fakulti Kejurutera­an Awam dan Alam Sekitar, UTHM

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia