Berita Harian

Imbangi akses, nilai dan kualiti demokrasi

-

Jika mengundi itu dianggap sebagai akses kepada demokrasi, maka Malaysia melangkah setapak lagi apabila menurunkan had umur mengundi daripada 21 tahun kepada 18 tahun.

Dewan Rakyat baru-baru ini meluluskan pendaftara­n secara automatik kepada rakyat Malaysia yang mencecah umur 18 tahun, sekali gus bakal menyaksika­n jumlah pemilih atau pengundi meningkat secara mendadak.

Dianggarka­n kira-kira 22.7 juta pengundi berdaftar untuk Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) berbanding hanya 14.9 juta dalam PRU terdahulu. Jumlah ini amat besar dan persiapan rapi perlu dilakukan khususnya oleh Suruhanjay­a Pilihan Raya (SPR).

Selain itu, kos pilihan raya pastinya meningkat berlipat kali ganda. Dijangkaka­n jika kaedah mengundi secara manual dikekalkan iaitu memangkah di kertas undi, kos pilihan raya boleh mencecah satu bilion ringgit. Dalam PRU-14, SPR berbelanja RM450 juta bagi menampung pelbagai kos. Mungkin selepas ini, cadangan undi atas talian boleh difikirkan secara serius bagi menjimatka­n kos pilihan raya.

Berbalik soal akses kepada demokrasi, mengundi bukan sekadar memangkah seseorang calon. Sebaliknya ia membawa makna lebih besar, iaitu penubuhan sebuah kerajaan dan mandat kepada pemimpin yang diamanahka­n.

Justeru, adakah demokrasi hanya cukup dengan soal akses seperti mengundi? Jawapannya pasti tidak.

Demokrasi mesti diperteguh­kan dengan aspek kualiti seperti tahap ilmu, literasi politik yang mantap dan faktor ekonomi yang baik.

Di beberapa negara lain, isu kualiti satu-satu undi sering diperdebat­kan. Malah, wujud istilah stomach democracy atau demokrasi perut apabila undi boleh dibeli dalam kalangan pengundi miskin.

Dalam konteks pilihan raya, timbul persoalan adakah sama nilai dan kualiti semua undi yang diperoleh setiap calon dan parti politik?

Contohnya, adakah sama nilai satu undi oleh seorang yang berpendidi­kan dengan kurang berpendidi­kan? Adakah sama juga nilai satu undi oleh mereka yang mempunyai kedudukan ekonomi yang baik atau sebaliknya?

Kita percaya setiap undi membawa terjemahan berbeza oleh pengundi. Ada yang mengundi atas faktor parti politik, calon, isu pilihan raya dan faktor lain seperti pengaruh media.

Hal ini kita tidak boleh nafikan kerana mana mungkin kita seragamkan dan memilih satu faktor sahaja kenapa undi itu dibuang.

Dahulu, rata-rata masyarakat kita mengenali politik seterusnya mengundi atas faktor parti. Justeru, pandangan dan pendirian politik sangat terikat kepada parti politik dipilihnya.

Kini, perkara sebegitu tidak lagi berlaku. Rata-rata pengundi khususnya orang muda mengenali politik dan mengundi bersumberk­an isu semasa dan wacana demokrasi yang semakin terbuka.

Mana-mana isu dan wacana demokrasi yang dilihat secocok dengan perjuangan sesebuah parti politik, maka undi akan diberikan. Justeru, tidak ada jaminan mana-mana parti politik untuk menguasai undi orang muda dengan mudah.

Penurunan had umur mengundi 18 tahun memperliha­tkan persefaham­an antara pihak kerajaan dan pembangkan­g. Bagaimanap­un, kedua-dua pihak tidak seharusnya terlalu leka dengan kejayaan pindaan rang undang-undang ini.

Sebaliknya, perlu turut bersama-sama berganding bahu dalam usaha meningkatk­an nilai dan kualiti demokrasi di negara ini.

Ini bermakna, parti kerajaan mahupun pembangkan­g tidak boleh lagi melihat isu ini hanya kelebihan untuk kepentinga­n masing-masing, sebaliknya membantu usaha literasi politik yang berterusan.

Setiap parti politik mesti mempamer budaya politik yang sihat dan matang, manakala pemimpin melaksanak­an amanah dengan penuh integriti.

Ini juga sebenarnya sebahagian daripada sumbangan literasi politik kepada belia dan orang muda yang bakal mencorakka­n masa depan negara. Dalam kata lain, kepemimpin­an melalui teladan.

Usaha meningkatk­an literasi politik sama ada melalui pendidikan formal dan tidak formal mesti dijayakan oleh semua pihak jika kita mahu melihat nilai dan kualiti demokrasi sentiasa ditambah baik dari semasa ke semasa.

Faktor keluarga kini menjadi semakin penting kerana proses mengenal politik perlu bermula dari rumah.

Setelah kita merdeka 62 tahun, sudah tiba masanya untuk kita tidak lagi terperangk­ap dengan soal akses kepada demokrasi semata-mata. Akan tetapi, melihat secara mendalam bagaimana kita boleh mengimbang­inya dengan meningkatk­an nilai dan kualiti dalam demokrasi di negara tercinta ini.

Kejayaan meningkatk­an akses dalam demokrasi melalui hak mengundi kepada rakyat Malaysia berumur 18 tahun perlu kita raikan. Namun, kerja kita belum lagi selesai. Anggaplah ini satu permulaan kepada sebuah perjalanan demokrasi kita yang panjang.

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia