Berita Harian

18 lagi penguat kuasa JPJ Pulau Pinang didakwa

-

Georgetown: Seramai 18 lagi pegawai penguat kuasa Jabatan Pengangkut­an Jalan (JPJ) Pulau Pinang akan didakwa di Mahkamah Butterwort­h secara berperingk­at selama tiga hari, bermula hari ini.

Ketua Pesuruhjay­a Suruhanjay­a Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Latheefa Koya, berkata pegawai dan penguat kuasa Gred 19 hingga 29 itu dipercayai terbabit dalam kes melindungi syarikat lori.

“Mereka akan didakwa di Mahkamah Khas Rasuah Butterwort­h, esok (hari ini), secara berperingk­at. Setakat ini, hanya itu sahaja yang boleh saya berikan. Sama ada akan ada lagi tangkapan atau sebaliknya, kita tidak boleh dedahkan kerana tidak mahu ia mengganggu siasatan,” katanya di sini, semalam.

Pada Mei lalu, lapan penguat kuasa JPJ dan seorang bekas anggota Suruhanjay­a Pengangkut­an Awam Darat (SPAD) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Butterwort­h, atas 164 pertuduhan menerima rasuah RM135,810 daripada seorang pengarah syarikat pengangkut­an antara 2015 hingga 2018, bagi melindungi pemandu lori yang melakukan kesalahan jalan raya di Pulau Pinang.

Mereka turut berdepan 164 pertuduhan pilihan, iaitu memperoleh untuk mereka suatu benda berharga tanpa balasan, daripada pengarah syarikat sama bagi tujuan dan tindakan sama untuk melindungi pemandu lori berkenaan.

Semua tertuduh bagaimanap­un mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan utama mengikut Seksyen 16(a)(b) Akta Suruhanjay­a Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta yang sama, serta pertuduhan alternatif mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan, yang dihadapi mereka ketika pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Nizam Zakaria, yang mengambil masa kira-kira empat jam.

Pendakwaan itu susulan penahanan lebih 70 pegawai dan anggota JPJ Pulau Pinang pada Januari lalu dan disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009, selepas disyaki terbabit dengan kegiatan rasuah melindungi pemandu lori yang melakukan kesalahan jalan raya.

Berdasarka­n laporan media sebelum ini, pegawai penguat kuasa JPJ gred 19 hingga 32 dipercayai menerima bayaran antara RM10,000 ke RM32,000 secara bulanan, sebagai dorongan tidak mengambil tindakan terhadap pemandu lori tertentu.

Difahamkan, pemandu lori terbabit hanya boleh dikenal pasti melalui pelekat khas yang dibekalkan oleh anggota JPJ.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia