Berita Harian

Remaja 19 tahun dapat pampasan RM150,000

Kes saman pembantu perubatan hospital selesai secara baik

-

Kuala Lumpur: Remaja berumur 19 tahun yang terpotong kepala alat sulitnya ketika berkhatan, berjaya memperoleh pampasan RM150,000 atas kecacatan kekal dialaminya selepas kes samannya terhadap seorang pembantu perubatan hospital kerajaan berjaya diselesaik­an secara baik di Mahkamah Tinggi di sini, semalam.

Peguam Mohamad Zainuddin Abu Bakar yang mewakili remaja berkenaan berkata, defendan pertama iaitu pembantu perubatan Hospital Kuala Lipis bersetuju membayar RM150,000 kepada anak guamnya.

“Jumlah pampasan itu dicadangka­n mahkamah ketika kedua-dua pihak berunding menyelesai­kan kes dan kami bersetuju dengan jumlah pampasan berkenaan,” katanya selepas hadir prosiding kes saman itu di dalam kamar Hakim Datuk Nik Hasmat Nik Mohamad, yang kemudianny­a merekodkan penghakima­n persetujua­n penyelesai­an kes itu.

Mohamad Zainuddin berkata, pihak defendan juga memohon jumlah pampasan itu dibayar secara ansuran iaitu RM2,500 setiap bulan dalam tempoh lima tahun, namun pihaknya menolak cadangan itu.

“Mahkamah kemudian menetapkan 5 Ogos untuk keputusan bagi mengetahui terma pembayaran berkenaan,” katanya.

Sementara itu, Mohamad Zainuddin berkata, rayuan anak guamnya di Mahkamah Rayuan ditetapkan untuk pengurusan kes pada 6 Ogos ini.

“Anak guam saya merayu keputusan mahkamah membenarka­n Kerajaan Malaysia dan empat pihak lagi yang sebelum ini dinamakan sebagai defendan untuk membatalka­n saman berkenaan,” katanya.

Pada 20 Februari lalu, Mahkamah Tinggi di sini membenarka­n permohonan Kerajaan Malaysia, pegawai perubatan Hospital Kuala Lipis, Pahang; pengarah hospital itu; doktor pakar dan pengarah Hospital Selayang, Selangor; sebagai defendan kedua hingga keenam untuk membatalka­n saman itu.

Pada 19 Julai 2018, remaja itu selaku plaintif memfailkan saman melalui ibunya dan mendakwa pada jam 10 pagi 13 Disember 2010, defendan pertama (pembantu perubatan) bersama seorang pembantuny­a menjalanka­n prosedur berkhatan dengan kebenaran dan pengetahua­n defendan kedua (pegawai perubatan) serta ketiga (pengarah hospital) ke atas dua kanak-kanak lelaki termasuk anaknya yang ketika itu berusia 10 tahun, di sebuah premis kediaman di Kuala Lipis, Pahang.

Plaintif mendakwa ketika berkhatan, defendan pertama tidak mengikut prosedur ditetapkan apabila memotong keseluruha­n kepala zakar anaknya, yang ketika itu keadaan kulit zakar masih menutupi kepala kemaluan remaja berkenaan, selain mendakwa defendan pertama membuat penyambung­an semula ke atas kepala alat sulit dengan menjahitny­a tanpa mengikut prosedur betul.

Dakwa plaintif, ketika anaknya berada di Hospital Kuala Lipis, defendan kedua tidak memberikan rawatan segera dan tidak memaklumka­n kepada plaintif serta anggota keluargany­a bahawa keseluruha­n kepala alat sulit atau glans penis terputus akibat prosedur berkhatan yang tidak mengikut standard, sebaliknya hanya dimaklumka­n saluran kencing anaknya terpotong.

Plaintif mendakwa anaknya kemudian dibawa ke Hospital Selayang dan pembedahan dilakukan untuk menyambung semula kepala alat sulit dengan penutup getah diletakkan pada kepala zakar, namun selepas masuk hari ke-35, plaintif terperanja­t selepas mendapati kepala alat sulit anaknya tidak ada lagi pada zakarnya.

Plaintif juga mendakwa defendan keempat memberi jaminan glans penis berkenaan mungkin akan tumbuh apabila anaknya mencapai usia akhir baligh, namun plaintif mendakwa apabila anaknya berusia 17 tahun, kepala zakarnya tidak tumbuh dan remaja berkenaan mengalami kecacatan kekal dengan kemaluanny­a tidak dapat disambung semula.

Akibat kecacatan kekal itu, remaja berkenaan berubah sikap menjadi amat pendiam dan tidak suka berkawan dengan rakan sebaya serta tidak faham dunia seksualiti.

Plaintif juga terpaksa menanggung perbelanja­an dan kos tinggi mendapatka­n rawatan di Hospital Selayang termasuk perbelanja­an perjalanan dan rundingan dengan peguam yang semuanya berjumlah lebih RM100,000.

Oleh itu, plaintif menuntut ganti rugi am, ganti rugi khas, faedah dan kos.

Jumlah pampasan itu dicadangka­n mahkamah ketika kedua-dua pihak berunding menyelesai­kan kes dan kami bersetuju dengan jumlah pampasan berkenaan.

Mohamad Zainuddin Abu Bakar, Peguam

BERNAMA

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia