Berita Harian

Daulat Tuanku

Dengan ini, Beta akan menjalanka­n seadil-adilnya pemerintah­an bagi Malaysia mengikut undang-undang dan Perlembaga­an negara serta memelihara dengan sempurna setiap masa agama Islam, dan berdiri teguh di atas pemerintah­an yang adil dan aman dalam negara.

-

Ikrar Yang di-pertuan Agong ke-16, Al-sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-mustafa Billah Shah pada Istiadat Pertabalan di Balairung Seri, Istana Negara, semalam

Kuala Lumpur: Al-sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-mustafa Billah Shah, semalam selamat ditabalkan sebagai Yang di-pertuan Agong ke-16 dalam suasana penuh istiadat gilang-gemilang, lambang kemegahan sistem raja berperlemb­agaan yang menjadi amalan di negara ini.

Berikut adalah ikrar baginda sebagai Yang di-pertuan Agong ke-16 pada Istiadat Pertabalan di Balairung Seri, Istana Negara.

“Bismillahi rrahmanni rahim. Beta Al-sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-musta’in Billah bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dengan izin-nya, beta telah dipilih menjadi Yang di-pertuan Agong Ke-16.

“Dengan ini, beta akan menjalanka­n seadil-adilnya pemerintah­an bagi Malaysia mengikut undang-undang dan Perlembaga­an negara serta memelihara dengan sempurna setiap masa agama Islam dan berdiri teguh di atas pemerintah­an yang adil dan aman dalam negara.”

Terdahulu, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad membacakan Surat Pengisytih­aran Al-sultan Abdullah sebagai Yang di-pertuan Agong.

Sejurus Al-sultan Abdullah menyempurn­akan lafaz ikrar sebagai Yang di-pertuan Agong, laungan ‘Daulat Tuanku’ sebanyak tiga kali dan tembakan meriam 21 das bergema di Istana Negara bagi menandakan penyempurn­aan istiadat pertabalan.

Datuk Paduka Maharaja Lela, Azuan Effendy Zairakithn­aini mengetuai laungan ‘Daulat Tuanku’ di dalam Balairung Seri, manakala tembakan meriam dilepaskan oleh Pasukan 41 Bateri Rejimen Artileri Diraja Kem Sungai Buloh.

Istiadat pertabalan itu, yang dilaksanak­an dengan penuh tradisi dan adat istiadat warisan Kesultanan Melayu, menjadi lebih bermakna bagi Al-sultan Abdullah yang lengkap memakai ‘Muskat’, kerana semalam juga hari ulang tahun keputeraan ke-60 baginda.

Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandaria­h yang anggun berbusana Tenun Pahang berona putih gading, turut berangkat ke istiadat pertabalan yang penuh bersejarah itu.

Istiadat berkenaan disiarkan secara langsung oleh semua stesen televisyen tempatan ke seluruh negara, amat signifikan kerana sarat dengan nilai estetika dan sentuhan peribadi Tunku Azizah, sekali gus mencatat detik indah bagi Seri Paduka berdua.

Pasangan diraja itu yang sentiasa tampil romantik, turut mencatat sejarah tersendiri kerana Seri Paduka berdua masing-masing adalah anakanda kepada dua Yang di-pertuan Agong terdahulu.

Keunikan juga terserlah apabila Al-sultan Abdullah menggunaka­n singgahsan­a sama yang pernah digunakan Almarhum Paduka Ayahanda, Sultan Haji Ahmad Shah Al-musta’in Billah semasa ditabalkan menjadi Yang di-pertuan Agong ketujuh.

Lebih nostalgik, detik bersejarah itu turut dikongsi bersama puteri bongsu Seri Paduka, Tengku Puteri Jihan Azizah ‘Athiyatull­ah yang mengenakan busana pernah dipakai Tunku Azizah semasa menyaksika­n pertabalan Almarhum Sultan Iskandar sebagai Yang di-pertuan Agong kelapan.

Istiadat pertabalan semalam juga menyaksika­n Dr Mahathir selaku Perdana Menteri ketujuh, mengisytih­arkan Al-sultan Abdullah sebagai Yang di-pertuan Agong Ke-16 selepas mengisytih­arkan Almarhum Sultan Ahmad Shah dan Almarhum Sultan Iskandar, masing-masing sebagai Yang di-pertuan Agong ketujuh dan kelapan, ketika beliau menjadi Perdana Menteri keempat.

Selain Raja-raja Melayu dan Permaisuri masing-masing, dua tetamu diraja dari luar negara, Putera Mahkota Abu Dhabi merangkap Timbalan Komander Tertinggi Angkatan Tentera Emiriah Arab Bersatu (UAE), Sheikh Mohamed Zayed Al-nahyan dan Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah bersama isteri, Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha turut berangkat ke istiadat itu.

Ia turut dihadiri wakil Raja-raja Melayu, Yang Dipertua Negeri, Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri dan menteri-menteri Kabinet selain tetamu-tetamu kehormat terdiri daripada ketua-ketua diplomat asing dan pegawai-pegawai kanan kerajaan.

Al-sultan Abdullah yang diputeraka­n pada 30 Julai 1959 di Istana Mangga Tunggal di Pekan, adalah cahaya mata keempat dan putera sulung Almarhum Sultan Ahmad Shah dan Almarhum Tengku Ampuan Afzan Tengku Muhammad.

Seri Paduka dipilih menjadi Yang di-pertuan Agong ke-16 pada Mesyuarat Majlis Raja-raja Khas di Istana Negara pada 24 Januari lalu berikutan peletakan jawatan Yang di-pertuan Agong Ke-15, Sultan Muhammad V pada 6 Januari sebelumnya.

Al-sultan Abdullah mendirikan mahligai dengan Tunku Azizah pada 6 Mac 1986 dan dikurniaka­n empat putera dan lima puteri. BERNAMA

 ??  ??
 ?? [Foto BERNAMA] ?? Al-sultan Abdullah melafazkan ikrar pada istiadat pertabalan baginda sebagai Yang di-pertuan Agong Ke-16 di Balairung Seri, Istana Negara. Yang turut berangkat, Tunku Azizah Aminah Maimunah.
[Foto BERNAMA] Al-sultan Abdullah melafazkan ikrar pada istiadat pertabalan baginda sebagai Yang di-pertuan Agong Ke-16 di Balairung Seri, Istana Negara. Yang turut berangkat, Tunku Azizah Aminah Maimunah.
 ?? [Foto BERNAMA] ?? Dr Mahathir membacakan Surat Pengisytih­aran Al-sultan Abdullah sebagai Yang di-pertuan Agong Ke-16 di Istana Negara, semalam.
[Foto BERNAMA] Dr Mahathir membacakan Surat Pengisytih­aran Al-sultan Abdullah sebagai Yang di-pertuan Agong Ke-16 di Istana Negara, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia