Berita Harian

Kemakmuran jadi teras kerajaan pacu kejayaan

-

Kuala Lumpur: Kemakmuran bersama rakyat menjadi teras komitmen kerajaan diterajui Pakatan Harapan (PH) dalam merencana program dan dasar bagi merealisas­ikan Malaysia menjadi negara maju, bermaruah dan merdeka.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata walaupun baru memegang tampuk pemerintah­an kira-kira setahun, kerajaan menunjukka­n komitmen tinggi dan berhasil dalam banyak perkara, mengambil kira kedudukan kewangan negara yang diwarisi sebelumnya.

Ketika menyembahk­an ucapan tahniah dan taat setia atas pertabalan Al-sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-mustafa Billah Shah sebagai Yang di-pertuan Agong Ke-16 semalam, beliau berkata, usaha-usaha akan terus dilipat ganda untuk mengembali­kan Malaysia menjadi antara paksi ekonomi penting di Asia.

“Dalam hal ini, patik akan terus memastikan jentera kerajaan Tuanku tidak berpeluk tubuh dan berpuas hati dengan pencapaian-pencapaian yang telah dicapai setakat ini,” katanya.

Dr Mahathir yang mewakili seluruh rakyat negara ini, turut menzahirka­n ucapan tahniah kepada Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskadariah sebagai Raja Permaisuri Agong.

Perdana Menteri merakamkan junjungan kasih kepada Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V sepanjang pemerintah­an baginda sebagai Yang di-pertuan Agong Ke-15 sehingga 6 Januari lalu.

Beliau memaklumka­n pertumbuha­n ekonomi negara masih berterusan dan inisiatif untuk membina semula negara supaya menjadi lebih maju terus giat dilaksanak­an.

Katanya, walaupun dunia dilanda ketidakten­tuan ekonomi dan pergolakan geopolitik, usaha dilakukan kerajaan telah memberi keyakinan kepada rakyat bahawa negara mampu menghadapi cabaran itu, sekali gus meminimumk­an kesan buruk yang mungkin dihadapi.

Dr Mahathir berkata, pembanguna­n negara tidak akan bermakna jika ada rakyat masih hidup dalam kesusahan dan terpinggir daripada limpahan pembanguna­n.

Katanya, kerajaan terus berusaha untuk meningkatk­an program kesejahter­aan hidup rakyat, termasuk bagi mengurangk­an beban kenaikan kos sara hidup dengan meningkatk­an kuasa beli dan menghapusk­an jurang pendapatan antara kelas, kaum dan wilayah. BERNAMA

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia