Berita Harian

‘Imbau nostalgia 35 tahun lalu’

Busana disarung Tengku Puteri Jihan dipakai bonda ketika pertabalan nenda

-

Kuala Lumpur: Busana warna putih gading disarung Tengku Puteri Jihan Azizah ‘Athiyatull­ah pada Istiadat Pertabalan Yang di-pertuan Agong Ke-16 di Istana Negara semalam, mengingatk­an kembali nostalgia semasa pertabalan nendanya 35 tahun dahulu.

Penampilan puteri bongsu Al-sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandaria­h, yang anggun bergaya mengenakan persalinan itu mencuri perhatian tetamu dan tumpuan lensa kamera yang merakam detik hari bersejarah berkenaan.

Persalinan yang diperbuat daripada satin Dutch bersulam renda Perancis itu, adalah persalinan Tunku Azizah Aminah Maimunah ketika menyaksika­n pertabalan ayahanda baginda, Almarhum Sultan Iskandar sebagai Yang di-pertuan Agong Kelapan pada November 1984.

Ketika ditemui selepas selesai Istiadat Pertabalan, Tengku Puteri Jihan, 17, berkata beliau berasa bangga dan selesa mengenakan baju kurung milik bonda yang mempunyai nostalgia tersendiri.

“Saya rasa bangga. Menurut bonda, kain (baju kurung) ini dibeli di London. Bonda pakai semasa berumur 23 tahun. Perlu besarkan sedikit sahaja di bahagian pinggang,” katanya.

Pereka fesyen terkenal, Datuk Rizalman Ibrahim yang berpengala­man selama 15 tahun sebagai ‘tukang jahit’ busana Tunku Azizah Aminah Maimunah dan anakanda baginda, diberi tanggungja­wab mengubah suai saiz baju kurung itu untuk disesuaika­n dengan saiz pinggang Tengku Puteri Jihan.

Sementara itu, Istiadat Pertabalan semalam, bukan sahaja amat bersejarah kepada negara, tetapi turut meninggalk­an pengalaman unik bagi petugas media.

Buat pertama kali, petugas media rasmi, termasuk Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA), RTM dan Jabatan Penerangan, serta media swasta yang membuat liputan acara itu wajib mengenakan persalinan istiadat.

Kira-kira 200 petugas media, terutama lelaki mengenakan persalinan istiadat baju Melayu hitam, bertanjak, bersampin, berbengkun­g dengan keris di pinggang, manakala petugas wanita wajib berbaju kebangsaan lengkap berselenda­ng pada bahu kanan.

Wartawan Penyiaran Media Prima Berhad, Raza Syazani Muhammad mengakui mengenakan persalinan itu adalah satu penghormat­an selain simbolik meraikan Seri Paduka yang ditabalkan sebagai Yang di-pertuan Agong.

“Bukan mudah dapat mengenakan persalinan seperti ini, lebih-lebih lagi dalam acara penuh istiadat sebegini.

“Berpakaian seperti ini melambangk­an ketinggian budaya dan adat Melayu, selain sebagai antara cara kita menzahirka­n sembah tahniah kepada Seri Paduka,” katanya.

Saya rasa bangga. Menurut bonda, kain ini dibeli di London. Bonda pakai semasa berumur 23 tahun.

Tengku Puteri Jihan Azizah ‘Athiyatull­ah, Puteri bongsu Yang di-pertuan Agong

 ?? (Foto Bernama) ?? Tengku Puteri Jihan (kiri) dan Tengku Puteri Afzan Aminah Hafizatull­ah pada Istiadat Pertabalan Yang di-pertuan Agong Ke-16 di Istana Negara semalam.
(Foto Bernama) Tengku Puteri Jihan (kiri) dan Tengku Puteri Afzan Aminah Hafizatull­ah pada Istiadat Pertabalan Yang di-pertuan Agong Ke-16 di Istana Negara semalam.
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia