Berita Harian

Halang aktiviti ancam kualiti air Sungai Muda

PBAPP cadang pemilik tanah kekal rizab tebing sungai 30 meter

-

Georgetown: Pihak berkuasa di Kedah dan Pulau Pinang harus memastikan tiada lagi tapak pembuangan sampah sepanjang tebing Sungai Muda, yang menjadi sumber air mentah bagi kedua-dua negeri itu.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang Sdn Bhd (PBAPP), Datuk Jaseni Maidinsa, berkata melindungi sungai sepanjang 203 kilometer (km) itu adalah satu tindakan yang boleh diambil bagi memastikan bekalan air untuk 2.16 juta orang di Kedah dan 1.77 juta di Pulau Pinang tidak diancam oleh lambakan sampah haram dan pencemaran sungai.

Jaseni yang juga Ketua Pegawai Eksekutif PBA Holdings Bhd (PBAHB) mencadangk­an supaya semua pemilik tanah mengekalka­n rizab tebing sungai sepanjang 30 meter untuk meminimumk­an risiko kemalangan, seperti tumpahan kimia dan pencemaran yang tidak disengajak­an .

“Kerahkan anggota penguat kuasa undang-undang untuk meronda kawasan sungai dan tebing sungai untuk mengesan dan menghalang kegiatan haram yang mengancam kualiti air sungai, (dan) menilai semua aktiviti sosioekono­mi di sepanjang tebing sungai untuk menentukan tahap risiko pencemaran sungai dengan tujuan menggubal undang-undang untuk melindungi sungai dan seterusnya bekalan air di Kedah dan Pulau Pinang,” katanya dalam satu kenyataan.

Kenyataan itu dikeluarka­n berikutan laporan berita kelmarin mengenai kewujudan pembuangan sisa seluas 1.8 hektar di Kampung Kemumbung di Sidam Kiri, Sungai Petani, Kedah, yang sebenarnya adalah 22.8km ke hulu Takungan Air Lahar Tiang di Pulau Pinang.

Laporan berita itu juga mendakwa bahawa sisa yang ditemukan di tapak buangan itu termasuk sisa elektronik dan bahan kimia dan PBAPP sudah mula mengumpul dan menghantar sampel air untuk ujian di makmal bebas.

Pada 2018, keputusan ujian terhadap 3,182 sampel air terawat, yang dikumpulka­n di 213 persampela­n di seluruh Pulau Pinang, menunjukka­n air minuman dibekalkan oleh PBAPP bersih dan selamat.

“Kami ingin mengesahka­n aktiviti pembuangan sisa haram di Sungai Muda di Kedah tidak menjejaska­n kualiti air mentah di Takungan Air Lahar Tiang,” katanya sambil menambah bahawa 80 peratus air mentah harian Pulau Pinang berasal dari sungai itu.

Mengikutny­a, Sungai Muda adalah sumber air mentah utama yang dikongsi oleh Kedah dan Pulau Pinang, dengan pertengaha­n sungai ini mentakrifk­an sebahagian daripada sempadan kedua-dua negeri itu.

BERNAMA

 ?? (Foto Nor Farhani Che AD/BH) ?? Longgokan sampah berada di tepi Sungai Muda.
(Foto Nor Farhani Che AD/BH) Longgokan sampah berada di tepi Sungai Muda.
 ??  ?? Jaseni Maidinsa
Jaseni Maidinsa

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia