Berita Harian

‘Bantulah kami cari ibu hilang’

Suri rumah gagal dikesan sejak lawat saudara-mara di India sebulan lalu

- Oleh Rosman Shamsudin bhnews@bh.com.my

Behrang: “Saya rindu sangat dengan emak, dah sebulan hilang, bantulah kami cari dia,” kata Mohd Aiman Syukur Mahmud yang berusia sembilan tahun.

Ibunya, Habibunees­a Mohamed Ismail, 36, dilaporkan hilang di Tamil Nadu, India, pada 29 Jun lalu.

Mohd Aiman Syukur yang bersekolah di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Phin Min, Behrang Stesen, dekat sini, berkata sejak ibunya pergi ke India dan kemudian dilaporkan hilang, dia dan adiknya, Mahnas Hibatullah Syazana, 4, diuruskan oleh ayahnya, Mahmud Rahman Shariff, 47.

Katanya, dia sedih apabila ibunya membuat keputusan melawat saudara-mara di India dan bertambah pilu, apabila mendapat tahu ibunya hilang ketika berada di negara itu.

“Biasanya setiap pagi emak menyiapkan pakaian sekolah dan sarapan, apabila balik sekolah emak masak untuk saya tetapi sekarang tidak ada lagi.

“Saya mohon kepada kerajaan tolong cari emak kerana takut apa-apa terjadi kepadanya di tempat orang,” katanya ketika ditemui di rumah neneknya di Bandar Sri Behrang, dekat sini, semalam.

Habibunees­a disedari hilang ketika berada di rumah saudaranya di Pandaravad­ai, Papanasam, Tamil Nadu, India, kira-kira jam 3 pagi waktu India, pada 29 Jun lalu.

Suri rumah itu pergi ke India bersama ibu saudaranya yang dikenali sebagai Nur Jihan, 38, dan sepupunya, Yunus Shukri, berusia empat tahun, pada 24 Jun lalu, sebelum dilaporkan hilang di negara berkenaan lima hari kemudian.

Mohd Aiman Syukur berkata, dia masih mengingati pesanan ibunya sebelum berlepas ke Lapangan Terbang Antarabang­sa Kuala Lumpur (KLIA), supaya menjaga adik dan bapanya selain memintanya rajin belajar serta menunggu kepulangan ibunya.

Katanya, kali terakhir berhubung dengan ibunya ialah pada 24 Jun lalu, iaitu menerusi perbualan dan gambar dihantar menggunaka­n Whatsapp, ketika ibunya itu berada di KLIA sementara menunggu pesawat berlepas ke India.

Sementara itu, Mahmud Rahman berkata, beliau sentiasa berhubung dengan Kementeria­n Luar di Putrajaya, untuk mengetahui status perkembang­an kes kehilangan isterinya di India itu.

Beliau dibantu oleh Presiden Penaja Parti Rakyat India Malaysia (PRIM), Dr S Santharase­karan yang menghubung­i pihak berkuasa tempatan di India, dengan menggunaka­n e-mel untuk mengetahui perkembang­an siasatan dan memohon agar menyelesai­kan kes itu dengan segera.

“Setakat ini, belum ada berita daripada Kerajaan India atau Kerajaan Malaysia, menyebabka­n saya amat bimbang keselamata­n isteri apabila mengenangk­an nasibnya.

“Setiap hari terutama awal pagi, anak akan bertanya bila emak nak balik. Saya dah tak mampu nak bagi jawapan kepada kedua-dua anak yang amat rindukan emak mereka,” katanya yang bekerja sebagai tukang paip.

 ?? (Foto Rosman Shamsudin/bh) ?? Mohd Aiman Syukur (kanan) dan Mahnas Hibatullah Syazana melihat gambar ibu mereka sambil diperhatik­an Mahmud Rahman di Behrang, semalam.
(Foto Rosman Shamsudin/bh) Mohd Aiman Syukur (kanan) dan Mahnas Hibatullah Syazana melihat gambar ibu mereka sambil diperhatik­an Mahmud Rahman di Behrang, semalam.
 ??  ?? Habibunees­a Mohamed Ismail
Habibunees­a Mohamed Ismail

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia