Berita Harian

Persatuan kumpul dana beli durian untuk asnaf

-

Shah Alam: Sebuah pertubuhan bukan kerajaan, Pertubuhan Persaudara­an dan Kejiranan Shah Alam (SARBAN), mengambil inisiatif mengumpulk­an dana untuk memberi peluang kepada golongan asnaf menikmati durian.

Ahli jawatankua­sanya, Muhammad Romy Mior Yaacob, 43, berkata tidak semua orang, khususnya asnaf, mampu menikmati durian pada masa ini kerana harganya agak mahal.

“Jadi mengapa tidak saya kumpulkan sumbangan untuk beri golongan miskin merasai buah itu,” katanya.

SARBAN berjaya mengumpulk­an sumbangan mencecah RM2,000 hanya dalam masa dua hari semata-mata untuk memberi peluang kepada 300 asnaf menikmati durian secara percuma di Seksyen 16, di sini, pada Ahad lalu.

Muhammad Romy berkata idea itu timbul selepas melihat situasi di mana golongan miskin hanya ‘mampu tengok’ buah durian kerana harganya yang agak mahal.

“Sudah banyak kali saya lihat di Shah Alam disebabkan harga durian yang agak mahal bagi golongan miskin, mereka hanya ‘mampu tengok’ saja.

“Jadi, saya dengan beberapa lagi ahli SARBAN buat keputusan untuk kumpul sumbangan hanya dalam masa dua hari untuk beri golongan asnaf merasai nikmat durian secara percuma,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Usaha murni Muhammad Romy dan ahli SARBAN itu disambut baik apabila terdapat juga mereka yang bukan ahli persatuan turut menyumbang.

“Apabila saya uar-uarkan mengenai program ini, ramai yang tidak teragak-agak untuk membantu biarpun mereka juga bukan orang berada.

“Namun, atas dasar belas kasihan, ramai yang sanggup menyumbang untuk sama-sama mendapat pahala dengan memberi asnaf merasai buah durian,” katanya.

Pada program Kenduri Durian Bersama Asnaf di Masjid Jamek Raja Tun Uda, Seksyen 16 itu, selain 200 kilogram durian, SARBAN turut menyediaka­n buah manggis dan pulut kepada asnaf untuk dimakan bersama durian.

“SARBAN menyediaka­n hidangan yang lengkap kepada asnaf ketika menikmati durian. Bukan hanya durian, tetapi ada juga manggis dan pulut untuk dimakan bersama.

“Untuk memberi sumbangan wang mungkin kami tidak mampu, tapi jika perkara seperti ini kita akan usahakan dan hasilnya sangat memuaskan hati,” katanya.

Katanya lagi, SARBAN kini dalam perancanga­n untuk mengadakan program sama bersama asnaf di kawasan lain kerana mendapat permintaan supaya usaha itu diteruskan.

“Kita bekerjasam­a dengan pihak masjid dan sekolah untuk mendapatka­n senarai orang miskin supaya dapat merasai durian yang hanya ada ketika musimnya.

“Jika buah lain mungkin kurang mendapat sambutan kerana sentiasa ada, jadi kami gunakan masa yang ada sementara durian masih ada,” katanya.

 ?? (Foto ihsan pembaca) ?? Ahli SARBAN menyediaka­n durian percuma kepada golongan asnaf di Masjid Jamek Raja Tun Uda, Seksyen 16, Shah Alam.
(Foto ihsan pembaca) Ahli SARBAN menyediaka­n durian percuma kepada golongan asnaf di Masjid Jamek Raja Tun Uda, Seksyen 16, Shah Alam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia