Berita Harian

Bukti peradaban Islam alam Melayu

Umpama mercu tanda ilmiah, terpahat perintah laksana syariat, saksi penguasaan ilmu falak, sains

- Oleh Siti Fatimah Mohamed Anwar ctfa@bh.com.my

Kuala Lumpur: Kewujudan Batu Bersurat Terengganu membuktika­n peradaban Islam di alam Melayu setanding dengan tamadun dunia, termasuk dalam bidang sains dan ilmu falak.

Pensyarah Pusat Kajian Tinggi Islam, Sains dan Peradaban (CASIS), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Dr Muhammad Zainiy Uthman, berkata Batu Bersurat Terengganu ialah mercu tanda ilmiah tamadun Islam di alam Melayu kerana mengandung­i maklumat bukan sahaja perintah melaksanak­an syariat Islam, bahkan membabitka­n penguasaan tinggi ilmu falak dan sains.

“Maklumat di batu itu menyebut hari, bulan dan buruj atau gugusan bintang, jadi ia berkaitan ilmu astronomi yang membuktika­n tamadun Islam di alam Melayu datang serentak dengan ilmu sains, iaitu falak termasuk cara penggunaan alat sains yang mungkin tidak kita temui pada masa ini.

“Abad ke-12 hingga 14 ialah abad umat Islam menghasilk­an paling banyak astrolab, iaitu alat yang digunakan untuk membantu mereka dalam bidang perniagaan dan pelayaran. Maka, ia menjadi antara cara menentukan kedudukan bulan dengan menggunaka­n peralatan saintifik berkenaan,” katanya pada Dialog Cendekiawa­n - Tradisi Keagamaan dan Islam di Dunia Melayu: Batu Bersurat dan al-aqaid al-nasafi di sini, baru-baru ini.

Muhammad Zainiy menegaskan Batu Bersurat Terengganu ialah spesimen tulisan jawi terawal di alam Melayu, selain daripada manuskrip al-aqaid al-nasafi.

“Prasasti ini membuktika­n kedatangan Islam ke Tanah Melayu bermula dengan penanda sejarah berserta bukti kukuh yang tidak boleh disangkal lagi termasuk maklumat berkaitan bidang sains gunaan hingga falsafah dan kalam,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, buruj ialah sistem bagi ahli falak zaman dahulu untuk mengenal gugusan bintang yang boleh diibaratka­n alamat atau peta bagi mengetahui kedudukan termasuk panduan kepada pengembara pada waktu malam.

Beliau berkata, Batu Bersurat Terengganu mempunyai istilah Arab, iaitu ‘sharatan’ yang merujuk kepada dua bintang dalam buruj Aries atau Ram yang membuktika­n masyarakat masa itu sudah mempunyai pengetahua­n dan menguasai ilmu falak seperti pencapaian awal dalam sejarah serta tamadun Islam terdahulu.

“Ilmu falak dalam Batu Bersurat Terengganu diterangka­n secara terperinci kerana ada maklumat mengenai hari, bulan dan disebut juga ‘hari pertama Jumaat’ bagi membawa erti Jumaat pertama pada Rejab.

“Gugusan bintang yang disebut sharatan atau nama saintifikn­ya Aries ialah rumah pertama yang dilalui bulan apabila bulan naik (bergerak).

“Fakta itu penting kerana Rejab adalah antara empat bulan yang dimuliakan dalam takwim kalendar Islam dan 27 Rejab juga berlakunya peristiwa Israk Mikraj apabila Rasullulah SAW diangkat ke langit untuk menerima perintah Allah SWT,” katanya.

Muhammad Zainiy berkata, tulisan jawi dalam kitab al-aqaid al-nasafi juga tidak jauh berbeza dengan Batu Bersurat Terengganu, sekali gus bermakna wujud pertalian persuratan membabitka­n cara penulisan jawi orang Melayu, walaupun berhadapan jarak waktu panjang, iaitu sekitar 300 tahun.

“Ia tradisi panjang kerana 1303 menuju abad ke-16 mencecah hampir 300 tahun dan bermakna cara penulisan jawi tidak berubah.

“Justeru, pendekatan dalam erti kata ilmiah sesuatu bidang ada ditekankan contoh bagaimana ilmu diterangka­n dalam bentuk yang lebih saintifik dan rasional.

“Batu Bersurat Terengganu membuktika­n kedatangan ilmu falak, manakala al-aqaid al-nasafi menyebut mengenai pelbagai ilmu termasuk kewujudan, politik, fizik dan atom. Ini bidang baharu kepada kita sekarang, meskipun sebenarnya sudah lama dibincangk­an,” katanya.

Beliau berkata, umat Islam perlu menyedari pada abad ke-16, Eropah baru menemui bidang baharu sains, itu pun selepas mereka memperoleh manuskrip daripada tamadun Islam, berikutan kejatuhan Sepanyol termasuk Toledo dan Granada ke tangan Kristian.

“Barat membawa manuskrip ini ke Eropah dan menubuhkan universiti, sekali gus bermulalah pertanding­an ilmiah dan akliah,” katanya.

Mengulas lanjut, Muhammad Zainiy berkata, penemuan Batu Bersurat Terengganu membuktika­n tamadun Islam di Tanah Melayu setanding dengan tamadun Islam semasa yang dibuktikan dengan kewujudan prasasti 150 tahun lebih awal daripada pembukaan kota Istanbul oleh Sultan Muhammad Al Fateh pada 1453.

“Batu Bersurat Terengganu membuktika­n Islam dimasyhurk­an di negara ini khususnya Terengganu dengan melaksanak­an syariat agama bermula pada 1303.

“Mungkin akan ada orang bertanya mengapa kita tidak tahu kehebatan tamadun Islam Tanah Melayu? Ia disebabkan kita sebenarnya sudah hilang sejarah ini dan kita tidak mendalami sejarah bahagian ini,” katanya.

Beliau berkata, sikap itu dikatakan historical amnesia, iaitu kelompanga­n sejarah, sekali gus menuntut kita untuk mempunyai pakar dan pusat khusus yang mendalami tamadun Islam di Tanah Melayu supaya maklumat itu dapat dikemukaka­n kepada masyarakat dan sejarah dapat diperturun­kan.

Mengulas lanjut, Muhammad Zainiy berkata, masih ada maklumat dalam Batu Bersurat Terengganu yang memerlukan pengkajian lanjut terutama undang-undang syariah yang diguna pakai pada masa itu yang disifatkan masih belum diterangka­n secara mendalam.

“Setakat ini, tiada kepakaran yang boleh melihat sejarah undang-undang syariah dan dibandingk­an dengan undang-undang syariah sekarang atau pengamalan­nya di tempat lain seperti Parsi, Baghdad, Bahrin pada 1303.

“Ini penting supaya kita dapat mengetahui apakah undang-undang syariah di negara kita sama seperti di tempat lain contohnya Kaherah,” katanya.

Beliau berkata, Batu Bersurat Terengganu perlu dianggap penanda sejarah negara kerana prasasti itu sumber sejarah Islam terawal, sekali gus membuktika­n daerah Kuala Berang menerima Islam sebagai agama rasmi.

“Jika bukan terawal pun, tahun 1303 di Batu Bersurat Terengganu menandakan Islam di Tanah Melayu lebih awal daripada Istanbul.

“Kita boleh membanding betapa terkedepan peradaban Islam di Tanah Melayu walaupun bukan daripada segi material tetapi membabitka­n aspek keilmuan dan tamadun,” katanya.

Beliau berkata, Batu Bersurat Terengganu tidak pernah diraikan walaupun ia ada dipelajari di sekolah.

“Batu Bersurat Terengganu bukan cerita dongeng atau legenda, sebaliknya ia berkaitan sejarah, sains dan Islam.

“Justeru, penemuan penting ilmuwan ulung negara, Tan Sri Prof Dr Syed Muhammad Naquib al-attas yang mengesah tarikh terpahat pada batu itu sebagai 4 Rejab 702 wajar diraikan sekurang-kurangnya dalam konteks Terengganu,” katanya.

 ?? (Foto Rosdan Wahid/bh) ?? Muhammad Zainiy pada Dialog Cendekiawa­n - Tradisi Keagamaan dan Islam di Dunia Melayu: Batu Bersurat dan al-aqaid al-nasafi di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
(Foto Rosdan Wahid/bh) Muhammad Zainiy pada Dialog Cendekiawa­n - Tradisi Keagamaan dan Islam di Dunia Melayu: Batu Bersurat dan al-aqaid al-nasafi di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
 ??  ?? Batu Bersurat Terengganu.
Batu Bersurat Terengganu.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia