Berita Harian

18 maut pesawat tentera terhempas

11 terbunuh terkena renjatan elektrik selepas Karachi terputus bekalan kuasa dalam satu lagi tragedi

-

Rawalpindi/karachi: Lapan belas orang maut apabila sebuah pesawat kecil tentera terhempas di kawasan kediaman di Rawalpindi, Pakistan awal semalam, kata pihak berkuasa.

Pesawat itu terhempas ke sebuah perkampung­an miskin berhampira­n kejiranan mewah dalam bandar tentera yang menempatka­n ibu pejabat tentera, mencetuska­n bebola api yang menerangi langit malam sekali gus menakutkan penduduk.

“Kami membawa 18 mayat ke hospital termasuk 13 orang awam dan lima kru. Semua mayat rentung, justeru ujian DNA diperlukan untuk mengenal pasti mangsa,” kata jurucakap penyelamat tempatan, Farooq Butt, menambah 12 lagi cedera dalam nahas berhampira­n ibu kota Islamabad itu. Seorang penduduk memaklumka­n AFP, nahas berlaku kira-kira jam 2 pagi semalam.

“Saya terjaga apabila mendengar letupan kuat. Saya keluar rumah dan menyaksika­n api besar dan kami bergegas ke tempat kejadian.

“Orang ramai menjerit. Kami cuba membantu mereka namun api terlalu tinggi dan marak,” kata penduduk Mohammad Sadiq yang percaya tujuh sekeluarga antara yang maut.

Seorang lagi penduduk, Ghulam Khan berkata, dia mendengar bunyi pesawat terbang di atas rumahnya, menambah ia terbakar sebelum terhempas. “Bunyinya menakutkan,” katanya.

Sayap penerangan tentera berkata, pesawat itu berada dalam misi latihan rutin apabila nahas berlaku, menambah pegawai penyelamat memadam kebakaran berpunca akibat nahas dan memindahka­n mangsa yang cedera ke hospital tempatan.

Seorang wartawan AFP di tempat kejadian berkata, asap masih keluar dari bangkai pesawat dan rumah yang musnah, sementera kepingan pesawat jelas dilihat di atas bumbung.

Perdana Menteri Imran Khan mengucapka­n takziah kepada keluarga mangsa yang terjejas dan berharap mangsa yang cedera pulih dengan segera, menurut tweet kerajaan Pakistan.

Pada 2016, pesawat Pakistan Internatio­nal Airlines terbakar selepas satu daripada dua enjin turboprop bermasalah ketika dalam perjalanan dari kawasan terpencil utara ke Islamabad, menyebabka­n lebih 40 maut.

Nahas udara terburuk adalah pada 2010 apabila pesawat Airbus 321 dikendalik­an syarikat persendiri­an Airblue dan terbang dari Karachi terhempas di kawasan bukit luar Islamabad ketika mendarat, mengorbank­an kesemua 152 penumpang di dalamnya.

Dalam perkembang­an lain, sekurang-kurangnya 11 terbunuh manakala tiga lagi cedera akibat terkena renjatan elektrik sementara pelbagai tempat di Karachi terputus bekalan kuasa susulan hujan lebat di metropolis itu dan kawasan lain di Sindh, kelmarin.

Sementara itu, seorang kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun, Farzana, maut apabila terkena kejutan elektrik di luar rumahnya di wilayah Akhtar Colony, menurut pegawai dan perkhidmat­an penyelamat.

AFP/AGENSI

 ?? (Foto AFP) ?? Tentera Pakistan mengepung kawasan di mana pesawat pasukan itu terhempas di Rawalpindi, semalam.
(Foto AFP) Tentera Pakistan mengepung kawasan di mana pesawat pasukan itu terhempas di Rawalpindi, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia