Berita Harian

Baddrol, Helang Merah sasar Piala Malaysia

Kapten Kedah gesa lupakan Piala FA

- Oleh Izzali Ismail bhsukan@bh.com.my

Alor Setar: Kedah terpaksa melupakan seketika kejayaan manis menjulang Piala FA, Sabtu lalu bagi memberi fokus terhadap saingan Piala Malaysia.

Kapten Kedah, Baddrol Bakhtiar menjelaska­n Helang Merah perlu memberi fokus sepenuhnya terhadap perlawanan pembuka tirai trofi terulung itu berdepan Negeri Sembilan di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi Sabtu ini.

“Saya bersyukur kerana dapat menambah koleksi kejuaraan keempat Piala FA bersama Kedah dan harap kejayaan ini tidak terhenti di sini kerana fokus kini harus ditumpukan kepada kempen Piala Malaysia.

“Sudah tentu saya dan pasukan berharap dapat menjulang piala keagungan itu dan kami tidak boleh selesa dalam aksi pembukaan menentang Negeri Sembilan walaupun mereka dari pasukan Liga Perdana.

“Namun, saya akui semangat dan motivasi kami cukup tinggi selepas menjuarai Piala FA,” katanya.

Anak buah Aidil Sharin Sahak dijangka tidak berdepan laluan mudah di peringkat kumpulan Piala Malaysia musim ini selepas diundi bersama Terengganu FC, PKNS FC dan Negeri Sembilan dalam Kumpulan A.

Selain itu, Baddrol menyifatka­n kejayaan menjulang Piala FA membuktika­n keharmonia­n dalam kem Kedah walaupun skuad itu baru enam bulan dibentuk Aidil.

Justeru, pemain tengah berusia 31 tahun itu memohon sokongan padu daripada seluruh peminat Helang Merah dalam membantu pasukan mencapai kejayaan di pentas Piala Malaysia pula.

“Kepada penyokong Kedah, teruskan memberi sokongan kepada pasukan walau apa juga rintangan yang dihadapi. Sikap positif yang ada pada semua mampu membawa pasukan mencapai impian untuk kejayaan Piala Malaysia pula kali ini.” katanya.

 ??  ??
 ?? (Foto Mohd Yusni Ariffin./bh) ?? Pemain pasukan Kedah meraikan kemenangan bersama penyokong selepas berjaya menewaskan pasukan Perak pada perlawanan akhir Piala FA di Stadium Nasional Bukit Jalil.
(Foto Mohd Yusni Ariffin./bh) Pemain pasukan Kedah meraikan kemenangan bersama penyokong selepas berjaya menewaskan pasukan Perak pada perlawanan akhir Piala FA di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia