Berita Harian

Akta sedia ada memadai tangani berita palsu

-

Kuala Lumpur: Undang-undang sedia ada disifatkan memadai bagi menangani masalah penyebaran berita palsu.

Sehubungan itu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang), Mohamed Hanipa Maidin, berkata belum ada cadangan mewujudkan undang-undang baharu menggantik­an Akta Antiberita Tidak Benar 2018 yang tidak diluluskan pemansuhan­nya oleh Dewan Negara tahun lalu.

“Setakat hari ini belum ada keputusan kerajaan sama ada akan mewujudkan semula akta baharu bersifat adil dan lengkap kerana buat masa ini kita mempunyai undang-undang mencukupi untuk menangani berita palsu,” katanya pada sesi pertanyaan lisan di Dewan Negara, semalam.

Beliau menjawab soalan Senator Datuk Yong Wui Chung, yang bertanya adakah kerajaan akan mempertimb­ang semula untuk mewujudkan akta baharu bagi menangani penyebaran berita tidak benar yang bersifat lebih adil dan lengkap.

Sementara itu, Mohamed Hanipa berkata kerajaan perlu tempoh setahun jika mahu memansuhka­n Akta Antiberita Tidak Benar 2018.

“Perlu tunggu setahun jika hendak memansuhka­n akta itu. Buat masa ini akta itu masih wujud tetapi tidak ada pendakwaan dibuat setakat ini,” katanya.

Pada September 2018, Dewan Negara menolak Rang Undang-undang Antiberita Tidak Benar (Pemansuhan) 2018 yang diluluskan oleh Dewan Rakyat pada Ogos tahun lalu.

Setakat hari ini belum ada keputusan kerajaan sama ada akan mewujudkan semula akta baharu bersifat adil dan lengkap kerana buat masa ini kita mempunyai undang-undang mencukupi untuk menangani berita palsu.

Mohamed Hanipa Maidin, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang)

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia