Berita Harian

Selangkah di hadapan penjenayah

-

Kemasukan dadah ke negara ini sering dikaitkan dengan aspek kawalan longgar di sempadan. Justeru langkah memperketa­t kawalan dan pemeriksaa­n di semua pintu masuk sempadan negara amat dialu-alukan, agar Polis Diraja Malaysia (PDRM) sentiasa ‘selangkah’ di hadapan penjenayah.

Bercakap soal sempadan, apa yang kita bimbangkan sebenarnya bukan hanya kemasukan dadah. Sebaliknya risiko lebih besar mungkin dihadapi jika ada pihak tertentu mengambil kesempatan atas kelemahan kawalan di sempadan. Siapa tahu, mungkin ada penjenayah berbahaya atau militan ekstremis ambil kesempatan menyusup masuk ke negara kita untuk bersembuny­i, atau ada yang menyeludup senjata api untuk melakukan keganasan.

Dalam memantapka­n kawalan, perlu diingat ‘operasi’ penjenayah bukan selalunya tertumpu di laluan keluar masuk utama. Lantas usaha memperketa­t kawalan perlu juga mengambil kira ratusan laluan tikus di sepanjang sempadan Malaysia-thailand seperti di Kedah-perlis, selain kewujudan pangkalan haram di sepanjang Sungai Golok di Kelantan. Perhatian serius juga perlu diberikan kepada Sabah dan Sarawak.

Kita percaya penjenayah atau anggota sindiket akan sentiasa mengubah taktik operasi mereka dan ini menuntut pihak berkuasa juga sentiasa mengemas kini maklumat berkaitan modus operandi penjenayah. Yang pasti operasi mereka bukan hanya tertumpu di laluan darat, jadi perairan negara yang sangat panjang contohnya di sepanjang Selat Melaka dan Laut China Selatan, perlulah juga dikawal rapi.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia