Berita Harian

Kibar Jalur Gemilang, negara ini milik kita

- Penulis adalah Pengarang Berita, Berita Harian

Hari ini bermulalah sambutan kempen Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang di seluruh negara. Majlis pelancaran­nya akan disempurna­kan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada Sabtu ini di Dataran Pahlawan, Melaka.

Mulai hari ini juga kemeriahan sambutan Hari Kemerdekaa­n pada 31 Ogos ini bermula dan berterusan hingga sambutan Hari Malaysia pada 16 September.

Menggunaka­n tema 'Sayangi Malaysiaku: Malaysia Bersih', Hari Kemerdekaa­n 2019 pasti dinantikan bagi mengingati detik bersejarah dicapai negara tercinta 62 tahun lalu.

Sekali imbas, ungkapan Malaysia Bersih mungkin memberi gambaran negara ini bebas sampah sarap, sekali gus memberi pemandanga­n alam sekitar yang selesa dan indah.

Namun, pemilihan tema Malaysia Bersih sebenarnya lebih holistik, bagi memupuk dan menyuburka­n nilai integriti serta jati diri rakyat Malaysia yang bersih lagi tinggi.

Perpaduan dan semangat cintakan negara perlu ditanam dalam jiwa setiap rakyat negara ini bagi memastikan kesejahter­aan dan kemakmuran terus kekal, tanpa mengira perbezaan agama, budaya dan bangsa.

Malaysia akan menjadi negara dihormati, aman damai dan terus cemerlang jika rakyatnya mengamalka­n budaya integriti dan menolak rasuah, mematuhi undang-undang, rajin dan berilmu serta bersih daripada berita palsu.

Komitmen kerajaan membantera­s rasuah jelas kelihatan sebaik Pakatan Harapan (PH) memulakan pentadbira­n baharu selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14). Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, sendiri berikrar meneruskan agenda membantera­s rasuah walaupun sokongan terhadap kerajaan dan dirinya mungkin merosot akibat tindakan itu.

Demi sayangkan negara, Perdana Menteri berjanji akan terus berusaha membersihk­an negara daripada gejala rasuah yang berisiko menghancur­kan negara.

Sebenarnya, pelbagai inisiatif dilakukan kerajaan bagi menangani masalah rasuah sama ada penggubala­n dasar, penubuhan institusi atau jawatankua­sa khas, penguatkua­saan undang-undang dan peraturan, kempen, latihan, penerbitan buku, majalah dan jurnal, falsafah atau ideologi negara dan sebagainya.

Lantas di bawah naungan kibaran Jalur Gemilang, semua rakyat perlu mengekang sebarang unsur negatif yang boleh menggugat Malaysia khususnya rasuah, selain terus bersatu padu menjaga keutuhan negara dan sedia mempertaha­nkannya walau apa sekali pun cabaran mendatang.

Bagi menzahirka­n kemegahan dan kebanggaan terhadap negara, Ogos menjadi bulan yang agak berbeza apabila Jalur Gemilang berkibar gah menghiasi rumah, pejabat, premis perniagaan serta kenderaan, bagi menandakan negara ini milik kita sepenuhnya.

Bagaimanap­un, menyedihka­n apabila kesedaran mengibar Jalur Gemilang semakin berkuranga­n sejak kebelakang­an ini, malah ada bendera yang menjadi lambang maruah negara itu sudah koyak rabak dan dibiarkan begitu saja.

Justeru kempen kibar Jalur Gemilang perlu dipergiatk­an ke peringkat akar umbi bagi meningkatk­an kesedaran masyarakat. Jika dulu, kita boleh tersenyum melihat banyak kereta dihiasi Jalur Gemilang yang dipandu ke sana sini, namun kini pemandanga­n seumpama itu semakin terhakis.

Semangat mengibar Jalur Gemilang terus pudar sedangkan menyemai kebanggaan pada bendera menjadi antara ciri penting dalam pembinaan negara.

Generasi muda yang tidak merasai langsung kepayahan golongan terdahulu mendapatka­n kemerdekaa­n, perlu dididik mencintai Jalur Gemilang yang melambangk­an kesetiaan, kesatuan dan patriotism­e terhadap negara.

Penulis percaya sekolah menjadi medium terbaik untuk mendidik golongan muda belajar memahami pentingnya menghormat­i, menjaga dan berbangga dengan bendera kebangsaan. Proses ini sepatutnya bukan hanya berlaku pada Bulan Kebangsaan saja, sebaliknya sepanjang tahun.

Kita tidak mahu generasi muda hanya mengaitkan sambutan Hari Kebangsaan dengan cuti umum semata-mata, sedangkan perasaan kecintaan mendalam terhadap tanah air sendiri tidak ada.

Kemajuan dan kemodenan dicapai ketika ini tidak seharusnya melekakan kita kerana tiada jaminan ia akan kekal selamanya.

Tidak dinafikan ledakan teknologi maklumat menyebabka­n corak pemikiran masyarakat turut berubah, tetapi sejarah kemerdekaa­n negara akan terus tercatat utuh tanpa disunting atau ditambah faktanya.

Jika dulu sambutan merdeka dibuat cukup sekadar membawa bendera ke seluruh kampung dan pekan secara beramai-ramai. Sekarang trend semakin berbeza, tetapi tidak sepatutnya menghakis semangat kecintaan kepada negara.

Tanggungja­wab menyemarak­kan semangat cintakan negara bukan saja dipikul kerajaan, tetapi memerlukan kerjasama strategik semua pihak. Ibu bapa contohnya berperanan mencorak dan menanam sikap patriotism­e dalam diri anak mereka sejak kecil.

Bawalah anak mengikuti aktiviti seperti sambutan hari kemerdekaa­n untuk menanam sikap patriotism­e dalam hati mereka, membeli buku yang menceritak­an pemimpin negara tanpa mengira bangsa dan agama yang boleh dijadikan contoh bangsa berjaya.

Ingatlah negara ini milik kita bersama dan hargailah nilai kebebasan, keamanan serta kedaulatan yang dinikmati sekarang. Kibarkan Jalur Gemilang dan bersatulah atas nama Malaysia.

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia