Berita Harian

Tangani konflik manusia, haiwan liar elak tragedi

- Penulis adalah Penulis Khas di Unit Khas Berita Harian

Hati siapa tidak terusik melihat tiga keping gambar memaparkan detik seekor ibu gajah membantu anaknya yang jatuh longkang, di Kota Tinggi, baru-baru ini.

Lokasi itu terletak bersebelah­an dengan kawasan hutan simpan yang menjadi habitat gajah.

Gelagat mamalia darat terbesar itu mundar-mandir, menunjukka­n kerisauan apabila anak kecilnya yang baru dilahirkan kurang 24 jam, berdepan bahaya. Sebagai ibu, ia tidak berganjak selagi anaknya tidak selamat.

Penulis percaya ibu gajah itu antara sekumpulan kira-kira 20 haiwan spesies sama yang dilihat sehari sebelum itu. Semua gajah berkenaan dipercayai berlindung di kawasan paya di tepi Stesen Penyelidik­an Getah (RRI) dekat Jalan Kota Tinggi-mersing, apabila seekor daripadany­a melahirkan anak.

Kejadian di depan mata penulis itu menunjukka­n betapa nasib gajah tidak menentu akibat konflik antara spesies berkenaan dengan manusia.

Ketika ini, antara 120 hingga 160 gajah terdapat di Johor berbanding anggaran keseluruha­n antara 1,400 hingga 1,600 di seluruh Semenanjun­g. Jumlah itu dijangka terus menurun jika konflik gajah dan manusia berterusan.

Apa nasib gajah ini terutama di Johor untuk lima tahun akan datang? Siapa yang akan memperjuan­gkan masa depannya? Apakah jumlahnya akan terus berkuranga­n? itu antara persoalan yang perlu kita semua jawab.

Jika tiada langkah drastik, habitat haiwan ini yang jumlahnya semakin terhad akan menyebabka­n konflik gajah-manusia semakin parah.

Kisah gajah masuk kampung dan memusnahka­n kebun penduduk sudah berlarutan lebih 20 tahun lalu dan semakin serius sejak lima tahun kebelakang­an ini.

Gambar tiga bangkai gajah bergelimpa­ngan dipercayai mati akibat diracun di Kampung Sri Timur 3, Kluang, dalam kejadian pada 4 Jun lalu antara pemandanga­n sukar dilupakan dan menjadi bukti konflik semakin meruncing.

Kira-kira sebulan kemudian, kita mendengar kisah lima sekeluarga trauma apabila dua gajah 'mengamuk' dan meranapkan garaj di hadapan rumah mereka di Kampung Sri Timur, tidak jauh dari lokasi pertama tadi.

Kita tidak mahu pertembung­an yang semakin kerap menyebabka­n manusia hilang sabar sehingga mengambil tindakan sendiri termasuk meracun atau memerangka­p haiwan itu.

Pernah pada awal 1990-an, penduduk di sebuah penempatan di Kota Tinggi mengugut untuk memburu dan membuat lubang besar bagi memerangka­p gajah liar, bagi mengelak ia terus memusnahka­n tanaman mereka.

Walaupun niat tidak diteruskan, kita bimbang tindakan sebegitu bernar-benar berlaku jika kumpulan gajah berterusan merosakkan tanaman penduduk.

Sejak lima tahun kebelakang­an ini, penduduk mendakwa mengalami kerugian berjuta-juta ringgit akibat serangan gajah. Malah dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini, 15 kampung menghadapi masalah gangguan gajah dengan kerugian dianggar RM200,000.

Penduduk semakin buntu untuk menghalau gajah daripada memasuki kawasan kebun dan penempatan mereka, kumpulan gajah pula seolah-olah mula menyesuaik­an diri dengan persekitar­an apabila selesa mengambil jalan mudah mencari makanan di pinggir hutan ketika kawasan rayau semakin mengecil.

Penulis percaya aktiviti pembalakan perlu diurus seimbang dengan mengambil kira kepentinga­n alam sekitar dan hidupan liar.

Keadaan hutan yang semakin mengecil dengan kawasan hutan berpulau dan tidak berpusat akibat kegiatan pembalakan, menjadikan habitat hidupan liar semakin berkuranga­n serta mengganggu kawasan rayau hidupan liar.

Konflik manusia dengan hidupan liar kini semakin serius dan sebagai negeri yang tinggi kepelbagai­an biologi negara, Johor perlu melihat semula langkah menangani isu ini.

Pengumuman Kementeria­n Air, Tanah dan Sumber Asli yang mahu mengeluark­an garis panduan dalam masa terdekat bagi menangani kegiatan pembalakan dan pengeluara­n hasil hutan tidak terkawal, dilihat langkah tepat bagi mengurangk­an konflik manusia-haiwan liar.

Walaupun pemberian lesen pembalakan dan urus tadbir tanah terletak dalam bidang kerajaan negeri, garis panduan baharu boleh menjadi pegangan dalam pengurusan hutan serta pembanguna­n yang mengambil kira semua isu.

Namun jangan pula ia hanya menjadi garis panduan, namun usaha menjaga alam sekitar dan habitat haiwan tidak dipenuhi. Ingatlah bumi ini untuk semua, gajah juga berhak mendapat bahagian.

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia