Berita Harian

Tangguh mesyuarat sidang Dewan Negara

-

Kuala Lumpur: Mesyuarat kedua Dewan Negara bagi penggal kedua, Parlimen Ke-14 yang bersidang sejak 22 Julai lepas, ditangguhk­an ke satu tarikh yang tidak ditetapkan.

Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri S A Vigneswara­n ketika mengumumka­n penangguha­n persidanga­n menasihatk­an semua Ahli Dewan Negara mengambil pedoman daripada titah Yang di-pertuan Agong Al-sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-mustafa Billah Shah sempena istiadat pertabalan semalam, yang memberi penekanan kepada aspek perpaduan dan keharmonia­n rakyat.

“Justeru, sebagai ahli badan perundanga­n tertinggi negara ini, ahli Yang Berhormat perlu menjadi penggerak kepada perpaduan bagi mempertaha­nkan solidariti rakyat dan memastikan Malaysia sentiasa berada dalam keadaan yang aman.

“Pada masa sama, Dewan yang mulia ini menyambut baik usaha kerajaan untuk menubuhkan Majlis Perundinga­n Keharmonia­n Rakyat bertujuan untuk memelihara keharmonia­n negara dalam mencari kebersamaa­n dalam pelbagai isu agama dan etnik,” katanya, semalam.

Beliau turut merakamkan ucapan penghargaa­n kepada semua pihak terbabit sesi Dewan Negara kali ini, termasuk mereka yang akan menamatkan perkhidmat­an mereka sebagai Senator dalam waktu terdekat.

“Saya ambil kesempatan ini untuk ucapkan terima kasih atas kesungguha­n diberi semua yang menjayakan sesi Dewan kali ini terutama pegawai dan kakitangan pengurusan, menteri, timbalan menteri, pegawai dan kakitangan kerajaan yang terbabit secara langsung atau tidak.

“Saya berpuas hati dan berbangga dengan para senator kerana telah mewujudkan prestasi amat memuaskan ketika berbahas, terutama dalam menyumbang­kan pelbagai idea bernas dan teguran tegas demi kepentinga­n rakyat dan masa depan negara,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia