Berita Harian

Perluas kerjasama sektor pendidikan

23 surat hasrat, tiga dokumen usaha sama ditandatan­gani IPT China, Malaysia

- Oleh Luqman Arif Abdul Karim luqman.arif@bh.com.my

Kuala Lumpur: Malaysia berhasrat memperkuku­hkan jalinan kerjasama institusi pendidikan dengan China, seiring matlamat meraikan hubungan diplomatik kedua-dua negara yang kini memasuki tahun ke-45.

Kementeria­n Pendidikan dalam satu kenyataan, semalam, berkata delegasi Malaysia diwakili 46 pegawai diketuai Pengarah Bahagian Pendidikan, Prof Dr Rahmah Ahmad Osman, menghadiri Minggu Kerjasama Pendidikan CHINA-ASEAN Ke-12 (CAECW) di Guiyang, Guizhou, dari 22 hingga 23 Julai lalu.

Antara pengisian program antarabang­sa itu ialah sesi perbincang­an dengan Pengarah Jabatan Pertukaran dan Kerjasama Antarabang­sa Kementeria­n Pendidikan serta Pengarah Urusan CAECW, Wang Rui, bagi mempromosi­kan sektor pendidikan di Malaysia secara menyeluruh.

Rahmah yang menerajui proses libat urus itu turut menyuntik keyakinan kepada China bahawa sektor pendidikan di Malaysia berada pada tahap kualiti tertinggi kerana mempunyai badan berkuasa seperti Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).

“Kita turut mengalu-alukan penyertaan syarikat gergasi seperti Alibaba untuk bekerjasam­a secara strategik dalam menawarkan latihan dan kepakaran industri kepada pelajar Malaysia,” katanya.

Naib Canselor Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Datuk Dr Aini Ideris, yang diberi penghormat­an menyampaik­an ucaptama sempena majlis perasmian CAECW berkata Malaysia berhasrat menjadi hab pendidikan antarabang­sa.

Mewakili institusi pengajian tinggi (IPT) di Malaysia, beliau menzahirka­n komitmen untuk mempromosi­kan pertukaran bahasa dan budaya, selain memacu usaha ke arah menggalakk­an program mobiliti pelajar serta pegawai.

“Malaysia berminat dengan Data Raya dan Revolusi Industri (IR) 4.0 yang sememangny­a bidang keutamaan di wilayah Guizhou, malah sektor pendidikan kita mempunyai pelbagai nilai tambah seperti berkualiti tinggi, kemesraan aspek budaya, kos pengajian secara berpatutan dan menjadikan bahasa Inggeris penghubung pengantara­bangsaan,” katanya.

Di sisi program CAECW, sebanyak 11 universiti dari China dan sembilan universiti dari Malaysia menyertai Perbincang­an Meja Bulat Presiden China-malaysia yang menyediaka­n wadah terbaik bagi kedua-dua negara saling mengenali serta memahami IPT masing-masing, selain meneroka peluang kerjasama baharu.

Sebanyak 23 surat hasrat dan tiga dokumen kerjasama pendidikan dipersetuj­ui serta ditandatan­gani oleh IPT Malaysia-china.

Menerusi kunjungan ke negara Tembok Besar itu, Malaysia menzahirka­n hasrat untuk mewujudkan sebuah Pusat Kebudayaan Malaysia di Guizhou Minzu University, seiring usaha menyediaka­n maklumat berkaitan kebudayaan dan perkembang­an Malaysia kepada masyarakat Guizhou.

 ?? (Foto Ihsan UITM) ?? Pertukaran Surat Hasrat antara UITM dan 9 IPT China diwakili Prof Dr Mohamad Kamal Harun (kanan) dan Presiden Zunyi Medical University, Liu Jian Guo pada CAECW di Guiyang, China, baru-baru ini.
(Foto Ihsan UITM) Pertukaran Surat Hasrat antara UITM dan 9 IPT China diwakili Prof Dr Mohamad Kamal Harun (kanan) dan Presiden Zunyi Medical University, Liu Jian Guo pada CAECW di Guiyang, China, baru-baru ini.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia