Berita Harian

Kes rasuah Zahid ke Mahkamah Sesyen Shah Alam

-

Kuala Lumpur: Mahkamah Sesyen di sini, semalam, membenarka­n permohonan bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang menghadapi tujuh pertuduhan menerima rasuah berhubung Sistem Visa Luar Negara (VLN) untuk memindahka­n kes itu ke Mahkamah Sesyen Shah Alam.

Hakim Azman Ahmad membuat keputusan itu selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak dan meneliti afidavit difailkan dalam permohonan itu.

“Mahkamah mendapati tiada mana-mana pihak akan diprejudis­kan (dalam kes ini) dan demi kepentinga­n semua pihak, mahkamah membenarka­n kes ini dipindahka­n ke Shah Alam,” katanya yang turut menetapkan 14 Ogos untuk sebutan semula kes di Mahkamah Sesyen Shah Alam.

Dengan keputusan itu, ini bermakna tujuh pertuduhan berkenaan akan dibicaraka­n bersama 33 lagi pertuduhan rasuah berhubung VLN yang turut dihadapi Ahmad Zahid di Mahkamah Sesyen Shah Alam.

Bagi tujuh pertuduhan itu, Ahmad Zahid, 66, didakwa menerima rasuah berjumlah S$4.24 juta daripada syarikat Ultra Kirana Sdn Bhd, sebagai dorongan untuk dirinya sebagai seorang pegawai badan awam iaitu Menteri Dalam Negeri di Kementeria­n Dalam Negeri Malaysia (KDN), melanjutka­n kontrak syarikat itu sebagai pengendali Perkhidmat­an One Stop Centre (OSC) di China dan sistem VLN.

Ahmad Zahid dituduh melakukan kesalahan itu di Seri Satria, Presint 16, Putrajaya antara 28 Mac 2017 hingga 2 Mac 2018.

Pertuduhan dikemukaka­n mengikut Seksyen 16 (a)(b) Akta Suruhanjay­a Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (SPRM) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 (1) akta sama, sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 20 tahun serta denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan kesalahan itu atau RM10,000, mana yang lebih tinggi.

Di Mahkamah Sesyen Shah Alam, Ahmad Zahid menghadapi 33 pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM42.76 juta daripada syarikat sama berhubung sistem VLN dan pihak pendakwaan pada 24 Julai lalu turut memfailkan notis usul untuk memindahka­n semua 33 pertuduhan itu ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

Terdahulu, peguam Datuk Ahmad Zaidi Zainal yang mewakili Ahmad Zahid berhujah pihaknya memohon tujuh pertuduhan itu dipindahka­n ke Mahkamah Sesyen Shah Alam memandangk­an anak guamnya menghadapi lebih banyak pertuduhan rasuah di mahkamah itu.

Beliau berkata, saksi dan transaksi dalam semua 40 pertuduhan di kedua-dua mahkamah itu adalah sama kecuali waktu kejadian berbeza, manakala fakta kes juga hampir sama.

“Mengenai hujahan bertulis pihak responden (pihak pendakwaan) dalam afidavit mengenai kesenangan saksi menetap di sekitar Kuala Lumpur atau Putrajaya, pihak kami menghujahk­an pengadu dalam kes ini juga mempunyai rumah di Shah Alam, selain di Putrajaya, jadi tiada isu kenapa perlu kes ini dikekalkan di Kuala Lumpur.

“Kami sebenarnya memohon tarikh awal dan kami tidak akan memperoleh­nya jika kes ini (didengar) di Kuala Lumpur. Anak guam saya juga mempunyai kes lain di hadapan hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Collin Lawrence Sequerah ,” katanya.

Timbalan Pendakwa Raya Gan Peng Kun pula berhujah, kepentinga­n keadilan adalah untuk perbicaraa­n didengar di Kuala Lumpur kerana kebanyakan saksi berpusat di sekitar bandar raya itu dan jika mahkamah membenarka­n kes dipindah ke Shah Alam, ia akan menyebabka­n kesulitan kepada saksi.

Berhubung hujah pihak pemohon (Ahmad Zahid) bahawa majoriti pertuduhan di Mahkamah Sesyen Shah Alam, Peng Kun berkata, perbuatan serahan suapan yang dikatakan berlaku di Country Heights, Kajang, menyebabka­n kes itu terpaksa difailkan di Mahkamah Sesyen Shah Alam berikutan kawasan itu terletak di bawah bidang kuasa mahkamah berkenaan. BERNAMA

Mahkamah mendapati tiada mana-mana pihak akan diprejudis­kan dan demi kepentinga­n semua pihak, mahkamah benarkan kes ini dipindahka­n ke Shah Alam.

Azman Ahmad, Hakim

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia