Berita Harian

2,000 kakitangan awam nikmati faedah

Projek Perumahan Penjawat Awam Negeri Sembilan

-

Seremban: Lebih 2,000 penjawat awam yang berkhidmat di negeri ini bakal menikmati faedah menerusi program kediaman dengan harga mampu milik melalui projek Perumahan Penjawat Awam Negeri Sembilan yang dijangka siap, dua tahun lagi.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun, berkata projek hasil kerjasama Perbadanan Kemajuan Negeri, Negeri Sembilan (PKNNS) dan pemaju De Four Developmen­t Sdn Bhd itu, akan dibina di tanah milik PKNNS berhampira­n S2 Heights dan Bandar Ainsdale.

Katanya, sebanyak 351 unit rumah akan dibina di kawasan seluas 18 hektar dengan jumlah Nilai Pembanguna­n (GDV) dianggarka­n RM64 juta.

“Sebanyak 150 unit rumah tiga bilik dan dua bilik air yang dijual pada harga bermula daripada RM90,000.

“Sebanyak 201 unit rumah empat bilik dan dua bilik air akan dijual bermula RM250,000 seunit,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis menandatan­gani Perjanjian Usahasama di antara PKNNS dan De Four Developmen­t Sdn Bhd di Wisma Negeri di sini, semalam.

Aminuddin yang juga Pengerusi PKNNS berkata, kawasan perumahan itu juga dilengkapi dengan pelbagai kemudahan termasuk surau, dewan serbaguna, gerai dan kawasan lapang untuk kegunaan bakal pembeli.

Beliau berkata, projek yang pertama kali dilaksanak­an oleh pentadbira­n Pakatan Harapan (PH) itu akan dimulakan sebaik sahaja mendapat lesen kebenaran daripada Kementeria­n Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

“Sehingga 24 Julai, kita sudah menerima 1,119 permohonan bagi rumah tiga bilik dan 169 permohonan bagi rumah empat bilik,” katanya.

Aminuddin berkata, kawasan berkenaan dipilih kerana lokasinya strategik dan berdekatan pelbagai jabatan kerajaan negeri bagi memudahkan penjawat awam ke tempat kerja.

“Selain itu, kita merasakan adanya keperluan golongan sederhana dan kaya tinggal bersama di satu kawasan supaya hubungan antara masyarakat tidak rosak. Kita tidak mahu ada perbezaan kawasan elit dan sebagainya,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, kerajaan negeri sedang meneliti beberapa syarat khas termasuk tempoh moratorium atau pegangan hartanah bagi mengelakka­n pembeli menjual dan mengubahsu­ai kediaman sewenang-wenangnya.

Katanya, beliau akan melihat keperluan menyediaka­n kuota mengikut kaum bagi memberikan peluang sama rata kepada semua penjawat awam pelbagai kaum menikmati kemudahan rumah mampu milik itu.

 ?? (Foto BERNAMA) ?? Aminuddin menyaksika­n pertukaran dokumen antara Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan, Datuk Dr Razali Ab Malek (tiga dari kiri) dan Pengarah Urusan De Tour Developmen­t Sdn Bhd, Ahmad Faez Abdul Razak di Seremban, semalam.
(Foto BERNAMA) Aminuddin menyaksika­n pertukaran dokumen antara Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan, Datuk Dr Razali Ab Malek (tiga dari kiri) dan Pengarah Urusan De Tour Developmen­t Sdn Bhd, Ahmad Faez Abdul Razak di Seremban, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia