Berita Harian

TFC tidak pandang rendah PKNS

-

Kuala Terengganu: Usah ada penyakit cepat selesa. Itu peringatan penting daripada pemangku ketua jurulatih Terengganu FC (TFC), Nafuzi Zain kepada anak buahnya menjelang aksi pembukaan menentang PKNS FC pada pentas Piala Malaysia di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, di sini, malam esok.

Selain itu, bekas penyerang Terengganu terbabit menuntut anak buahnya tidak terlalu memikirkan rekod kemenangan pada aksi Liga Super dengan skuad Semut Merah sebagai alasan untuk mengambil mudah perlawanan berkenaan.

Sebaliknya jurulatih yang pernah membimbing skuad Piala Presiden Terengganu itu menggesa anak buahnya memperagak­an aksi sebenar selain membuktika­n mereka mampu menyaingi skuad bimbingan Datuk K Rajagobal terbabit.

“Walaupun TFC berjaya mencatat keputusan seri 1-1 di laman sendiri dan menang 2-1 menundukka­n PKNS FC di Stadium Shah Alam pada aksi Liga Super, ia bukan jaminan buat pasukan untuk menewaskan skuad itu kerana pentas Piala Malaysia adalah gelanggang yang berbeza.

“Oleh sebab itu saya mengingatk­an pemain usah berasa selesa dan mengambil mudah biarpun beraksi di laman sendiri kerana sudah pasti lawan juga mahu mencatat kemenangan.

“Selain itu pasukan juga tidak boleh bazir mata jika berhasrat untuk mara ke peringkat suku akhir apatah lagi beraksi di laman sendiri pada aksi pertama peringkat kumpulan itu biarpun sedar bakal diberi tentangan sengit pihak lawan,” katanya.

Nafuzi yang mengambil alih tugas daripada Irfan Bakti Abu Salim pada 16 Mei lalu selepas jurulatih itu meletak jawatan secara mengejut, menyatakan perancanga­n pasukannya berjalan lancar biarpun mungkin ada sedikit tekanan untuk melangkah lebih jauh sebagaiman­a muncul naib juara Piala Malaysia musim lalu.

“Perancanga­n kami berjalan seperti biasa, harapan kami pastinya terarah kepada fokus pemain serta mampu atasi kelemahan yang ada ketika saingan liga untuk mengintai pentas akhir Piala Malaysia.

“Jika pemain memberikan sepenuh komitmen, saya yakin peluang untuk mara ke final tetap ada walaupun saya akui saingan peringkat Kumpulan A yang turut dibarisi Kedah dan Negeri Sembilan pasti mendebarka­n,” kata Nafuzi.

Pada final musim lalu ketika bawah kendalian Irfan, skuad Penyu tewas 1-4 menerusi penentuan sepakan penalti selepas kedudukan hingga tambahan masa terikat 3-3 dalam aksi panas dan dramatik itu yang menyaksika­n kedua-dua pasukan beraksi dengan 10 pemain.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia