Berita Harian

Sindiket penipuan gores dan menang muncul semula cari mangsa

Perdaya mangsa isi borang kaji selidik di pasar raya

- Oleh Wan Noor Hayati Wan Alias wanti@bh.com.my

Kuala Lumpur: Sindiket gores dan menang masih meneruskan modus operandi memperdaya orang ramai, terutama di pasar raya, dengan pelbagai helah.

Terbaru, bulan lalu, mereka meminta mangsa mengisi borang kaji selidik barangan elektrik sebelum menawarkan hadiah bernilai RM5,000 menerusi kupon yang digores.

Beroperasi di sebuah pasar raya di Batu Caves, sejak awal bulan lalu, anggota sindiket itu akan menghampir­i pengguna dan meyakinkan mangsa akan memenangi hadiah selepas mengisi borang soal selidik barangan tertentu.

Dalam kejadian pada 2 Julai lalu, seorang pelajar universiti tempatan, Nur Fatihah Idris, 25, yang menjadi mangsa sindiket nyaris kerugian hampir RM2,500 wang persediaan perkahwina­nnya.

Dia yang menularkan kejadian itu menerusi laman sosial Facebook atas namanya berkata, ketika kejadian dia bersama ibunya ke pasar raya berkenaan untuk membeli-belah.

Katanya, di situ, dia didekati seorang jurujual untuk menjawab soalan kaji selidik, membuat cabutan kupon dan akhirnya dipujuk untuk membeli sebuah ketuhar bagi menerima hadiah percuma seperti tertera dalam kupon.

“Pendekatan mereka terlalu lembut, meyakinkan dan profesiona­l sehingga saya tidak sedar saya sudah masuk ke dalam perangkap mereka.

“Saya ditawarkan sebuah ketuhar berharga RM5,000 dan akan menerima satu lagi ketuhar pada harga sama secara percuma.

“Saya terjebak selepas seorang jurujual mendakwa sanggup membayar separuh daripada harga itu untuk mengambil ketuhar percuma yang ditawarkan kepada saya jika membeli sebuah ketuhar jenama sama,” katanya ketika ditemui BH.

Nur Fatihah berkata, dia bersetuju dan membuat bayaran dalam keadaan tergesa-gesa selepas jurujual mendakwa masa hanya tinggal 10 minit kerana operasi akan ditutup pada jam 6 petang.

Katanya, setiba di rumah, dia terkejut apabila mendapati jenama ketuhar itu bukan seperti ditawarkan dan ketika itu baru dia sedar yang dia sudah tertipu.

“Bagaimanap­un, saya berjaya mendapatka­n kembali semua bayaran selepas menyatakan akan membuat laporan polis dan menyebarka­n gambar mereka menerusi platform media sosial,” katanya.

Dalam pada itu, tinjauan BH ke pasar raya itu mendapati sindiket tidak lagi beroperasi di petak niaga mereka dan difahamkan pihak berkuasa sudah menahan atas ahli sindiket terbabit.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Gombak, Superinten­dan Arsad Kamaruddin ketika dihubungi BH mengesahka­n penahanan empat lelaki dan seorang wanita mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Katanya, kesemua suspek berusia antara 22 tahun hingga 36 tahun direman empat hari bagi membantu siasatan.

Setakat ini, katanya, hanya seorang mangsa membuat laporan dan pihaknya bertindak cepat sebelum ada yang lain menjadi mangsa.

“Kami turut merampas invois dan resit pembayaran yang dikatakan dibuat oleh pelanggan lain.

“Bagaimanap­un, selepas siasatan, kami dapati penama dalam invois dan resit tidak wujud, sebaliknya ia digunakan untuk meyakinkan mangsa yang ramai orang membeli barangan berkenaan,” katanya.

 ??  ?? Sindiket gores dan menang memperdaya mangsa di sebuah pasar raya di Batu Caves pada 2 Julai lalu.
Sindiket gores dan menang memperdaya mangsa di sebuah pasar raya di Batu Caves pada 2 Julai lalu.
 ??  ?? Petak niaga sindiket gores dan menang tidak lagi beroperasi.
Petak niaga sindiket gores dan menang tidak lagi beroperasi.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia