Berita Harian

TWT tunai hasrat Fatimah ke Tanah Suci

-

Makkah: Kehidupan Fatimah Eral yang umpama ‘kais pagi makan pagi, kais petang makan petang’ dengan pendapatan RM40 sehari hasil jualan kuih dan nasi kuning, menjadi kekangan beliau mengumpul wang merealisas­ikan impian menunaikan haji.

Ibu kepada tiga anak dari Semporna, Sabah itu yang ditinggalk­an suami sejak 10 tahun lalu, terpaksa menolak tawaran Lembaga Tabung Haji (TH) untuk mengerjaka­n Rukun Islam Kelima berkenaan pada tahun lalu dan tahun ini akibat kekangan kewangan.

Namun, Fatimah, 62, tidak menyangka lawatan petugas TH ke rumahnya pada April lalu membawa sinar apabila beliau kemudian dimaklumka­n terpilih untuk program Tabung Warga Tua (TWT) yang membiayai perbelanja­an mengerjaka­n haji.

“Saya tidak percaya tiba-tiba mendapat tawaran naik haji. Saya menangis kesyukuran tetapi bertanya juga (kepada diri sendiri), betulkah dipanggil (menunaikan haji) kerana saya pun tidak berduit (untuk mengerjaka­n haji).

“Duit saya dalam akaun Tabung Haji hanya ada RM1,300, lain daripada itu saya tidak tahu apa-apa. Saya tidak sangka, hanya Tuhan tahu siang malam saya menangis, betulkah saya dipilih,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat TH Makkah di Abraj Janadriyah, di sini, semalam.

Fatimah berkata, beliau tidak memperoleh apa-apa bantuan selain daripada TH, di samping wang pemberian keluarga dan jirannya berjumlah kira-kira RM350 sebagai bekalan serta perbelanja­an di Tanah Suci.

“Saya tiada belanja apa-apa sangat di sini, tidak membeli-belah, makan minum semua TH sediakan. Terima kasih banyak-banyak, TH membawa saya ke sini. Ramai orang tidak tahu hidup saya bagaimana tetapi Tuhan sentiasa Maha Mengetahui. Oleh itu, saya amat bersyukur,” katanya.

Ditanya mengenai keluargany­a yang terpaksa ditinggalk­an sementara di Semporna untuk menyambut seruan sebagai duyufurrah­man atau tetamu Allah, Fatimah dengan sebak memaklumka­n beliau risau dengan keadaan anak bongsunya berusia 13 tahun, namun sentiasa berdoa agar mereka dilindungi Allah SWT.

Sementara itu, Pengarah TH Sabah, Datin Norlaila Said, pada sidang media sama berkata Fatimah antara 50 jemaah haji dipilih untuk TWT tahun ini, iaitu salah satu program khidmat masyarakat TH membantu golongan memerlukan menunaikan haji.

“Bantuan ini diberi mengikut baki simpanan (dalam TH) bakal haji itu. Contohnya, ada RM1,000, program ini cukupkan kewangan (bayaran haji) RM9,980 jemaah haji itu,” katanya.

Musim haji tahun ini menyaksika­n 30,200 jemaah haji Malaysia bakal mengerjaka­n Rukun Islam Kelima itu dengan dibantu 640 petugas TH. BERNAMA

 ??  ?? Fatimah Eral
Fatimah Eral

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia