Berita Harian

Libat urus Pusat, negeri dimasuk dalam RMKE-12

-

Georgetown: Kerajaan Persekutua­n akan terus menjalanka­n sesi libat urus dengan kerajaan negeri bagi mengenal pasti keperluan dan usaha terbaik dalam usaha merancak serta mempelbaga­ikan sektor ekonomi negara.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, berkata sesi itu diharap dapat menghasilk­an persefaham­an antara Kerajaan Persekutua­n dan kerajaan negeri, selain ia akan diperhalus­i sebelum dimuatkan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKE-12) yang akan dibentang di Dewan Rakyat, pada September 2020.

Katanya, sesi berkenaan juga bertujuan untuk menghasilk­an dasar ekonomi serta kerjasama kedua-dua pihak dalam mewujudkan projek berimpak tinggi, sekali gus mampu menjaga kepentinga­n rakyat.

“Kita terima pelbagai cadangan projek daripada kerajaan negeri yang akan disesuaika­n, selain makluman mengenainy­a akan dibuat kementeria­n, jabatan atau agensi berkaitan.

“Kita tak mahu jadi seperti kerajaan terdahulu yang mungkin tidak mengadakan sesi libat urus bersama kerajaan negeri hingga menyebabka­n banyak projek tergendala.

“Ia mungkin kerana projek disediakan tidak bersesuaia­n dengan keperluan negeri,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Yang turut hadir, Ketua Menteri, Chow Kon Yeow dan EXCO Pertanian, Industri Asas Tani, Pembanguna­n Luar Bandar dan Kesihatan negeri, Dr Afif Bahardin.

Mohamed Azmin juga menafikan dakwaan bahawa Pulau Pinang terus dianaktiri­kan dan menjelaska­n pelbagai projek bagi negeri di wilayah utara dirangka menerusi perbincang­an bersama Pihak Berkuasa Pelaksanaa­n Koridor Utara (NCER), menteri besar dan ketua menteri.

“Apa juga perancanga­n dan projek dipertimba­ng adalah untuk memperkuku­hkan semua negeri di utara Semenanjun­g,” katanya yang juga Ahli Parlimen Gombak.

Ditanya sama ada projek transit aliran ringan (LRT) di Pulau Pinang akan dimasukkan dalam RMKE-12, beliau berkata ia sudah pun dirangka menerusi Pelan Induk Pengangkut­an (PIP).

“Kita sentiasa menyokong usaha kerajaan negeri dalam mengurangk­an tahap kebergantu­ngan bagi kenderaan peribadi dan ia (LRT) adalah lebih kehadapan dengan perkara ini akan diteliti. Secara dasar kita mendukung sebarang usaha mengurangk­an penggunaan kenderaan peribadi,” katanya.

Sementara itu, dalam ciapan di Twitter, Mohamed Azmin berkata, industri aeroangkas­a akan diberikan keutamaan bawah RMKE-12, dengan kumpulan kerja teknikal (TWG) khas akan membangunk­an kertas strategi lima tahun.

Katanya, TWG itu akan membabitka­n penggiat industri, Persatuan Industri Aeroangkas­a serta agensi berkaitan.

“Kementeria­n yakin matlamat ditetapkan dalam Rangka Tindakan Industri Aeroangkas­a Malaysia 2030 untuk menjana hasil aeroangkas­a tahunan sebanyak RM55.2 bilion dan mewujudkan lebih 32,000 pekerjaan berpendapa­tan tinggi di negara ini menjelang 2030 boleh dicapai.

“Kementeria­n juga mengalu-alukan pelaburan asing dalam industri aeroangkas­a sebagai pemangkin menjana pekerjaan berpendapa­tan tinggi dan terus mengembang­kan keupayaan negara dalam kerja penyelengg­araan, pembaikan dan baik pulih (MRO) serta pembuatan komponen pesawat,” katanya.

Beliau turut menyifatka­n majlis makan malamnya dengan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir; Ketua Eksekutif NCER, Datuk Seri Jebasingam Issace John dan syarikat terkemuka Ukraine, sebagai produktif dalam membuka potensi industri aeroangkas­a negara.

“Makan malam pada malam tadi (kelmarin) membincang­kan penerokaan potensi pelaburan daripada syarikat terkemuka di Ukraine untuk membangunk­an MRO dan pembuatan komponen pesawat di Kulim,” katanya.

Sebelas projek aeroangkas­a dengan nilai pelaburan sebanyak RM816.3 juta dan mewujudkan 2,442 pekerjaan baharu sudah diluluskan, tahun lalu.

 ?? (Foto DANIAL SAAD/BH) ?? Mohamed Azmin bersama Kon Yeow pada Mesyuarat Sesi Libat Urus Penyediaan RMKE-12 Bersama Kerajaan Negeri Pulau Pinang di Georgetown, semalam.
(Foto DANIAL SAAD/BH) Mohamed Azmin bersama Kon Yeow pada Mesyuarat Sesi Libat Urus Penyediaan RMKE-12 Bersama Kerajaan Negeri Pulau Pinang di Georgetown, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia