Berita Harian

Biar rakyat tentukan acuan demokrasi

- Penulis adalah wartawan Meja Rencana Berita Harian

Ketika isu penurunan had umur layak mengundi kepada 18 tahun masih menjadi topik hangat dibincangk­an di negara kita, beberapa negara lain di dunia sudah pun mengorak langkah menurunkan usia mengundi lebih rendah seawal usia 16 tahun.

Berbanding had usia 21 tahun yang ditetapkan kebanyakan negara demokrasi di dunia sebelum ini, langkah menurunkan had umur kepada 18 tahun dikatakan bermula selepas 1970-an di United Kingdom, Eropah Barat, Amerika Syarikat, Kanada, Jerman, Australia, Perancis. Malah, negara Asia seperti India dan Pakistan juga mengorak langkah sama seawal 1970-an.

Dalam kalangan negara ASEAN pula, kebanyakan negara turut menurunkan had umur mengundi kecuali Singapura yang masih mengekalka­n usia 21 tahun. Di Indonesia dan Timor Leste menetapkan rakyat mereka usia 17 tahun sebagai layak mengundi.

Tidak dinafikan negara kita agak terlambat dalam perkara ini berbanding hampir 90 peratus dari negara di dunia, termasuk negara jiran yang lebih awal melaksanak­an syarat usia minimum mengundi pada umur 18 tahun.

Pensyarah Fakulti Ekologi Manusia Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Mohd Izani Mohd Zain, berpendapa­t paling penting acuan demokrasi negara ini adalah ditentukan kita sendiri, selain berasaskan kesediaan negara untuk menghadapi­nya kelak.

“Sejarah baharu yang diciptakan ini boleh disifatkan sebagai membuka akses demokrasi yang lebih baik untuk negara, tetapi itu tidak bermakna kita perlu berpuas hati dengan pencapaian berkenaan,” katanya pada wacana intelektua­l mengenai ‘Penurunan Had Umur Belia dan Mengundi Di Malaysia: Cabaran dan Masa Depan anjuran Fakulti Ekologi Manusia, UPM, baru-baru ini.

Katanya, persiapan sebaik mungkin perlu dilakukan sebagai jaminan supaya kerajaan yang dibina pada masa hadapan, dizahirkan sendiri oleh generasi muda berasaskan ilmu dan literasi politik yang mereka fahami. Ini sekali gus mampu menolak tanggapan ramai bahawa undi generasi muda cukup mudah dipengaruh­i.

Sehubungan itu katanya, literasi politik seharusnya bermula pada peringkat lebih awal, iaitu sebelum memasuki usia 18 tahun supaya nasib negara tidak diperjudik­an di tangan generasi muda yang dijangka menguasai 50 peratus daripada anggaran 22.7 juta yang layak mengundi pada 2023.

Mungkin ada yang melihat isu kualiti dan nilai undian daripada generasi muda sebagai sesuatu yang universal dan subjektif untuk dibincangk­an, tetapi pada masa sama, kita tidak mahu negara menerima nasib sama seperti beberapa negara luar yang mengamalka­n apa yang disebut sebagai ‘demokrasi perut’ apabila undi rakyat begitu mudah dibeli, terutama bagi golongan miskin.

Lantaran itu, ramai yang turut mempersoal­kan kesediaan generasi muda ini dalam ‘menghargai’ undi mereka memandangk­an usia 18 tahun dianggap sebagai ‘budak lepasan’ sekolah yang baru memasuki alam dewasa.

Pensyarah Fakulti Pengajian Pendidikan UPM, Prof Madya Dr Ismi Arif Ismail, pula berkata, persoalan sama ada mereka sudah bersedia atau sebaliknya, seharusnya tidak lagi ditimbulka­n, terutama selepas Parlimen sudah meluluskan usul berkenaan.

Mahu tidak mahu, kita sepatutnya bersedia ke arah itu. Paling penting, sekarang adalah masanya untuk mengisi apa yang sudah direncanak­an supaya semuanya dapat direalisas­ikan sebaik mungkin seperti diharapkan.

Tambahan pula, sistem pendidikan negara yang disifatkan sudah semakin berkualiti menunjukka­n kita semakin bersedia menuju ke arah perubahan untuk mendengar suara dari peringkat akar umbi.

Jangan pula kita stereotaip seolah-olah anak muda belum matang mengenai politik kerana yang penting adalah pendedahan dan kesedaran mereka mengenai politik pada peringkat awal.

Pun begitu, adalah tidak adil jika kita hanya meletakkan tanggungja­wab untuk mendidik atau memberi kesedaran terhadap anak muda mengenai isu pilihan raya dan politik ini kepada institusi pendidikan semata-mata.

Sementara itu, Ahli Dewan Muda Johor, Muhammad Haziq Shafe’ee menyatakan pandangan yang berbeza apabila menyifatka­n penurunan had umur mengundi dibuat dalam keadaan tergesa-gesa tanpa melalui tempoh fasa tertentu bertujuan mendidik masyarakat.

Katanya, generasi muda terutama yang tinggal di luar bandar memiliki pengetahua­n agak terhad berbanding masyarakat bandar yang lebih berpendidi­kan dan terdedah dengan pelbagai perkembang­an semasa, termasuk hal ehwal politik.

Lebih penting adalah jaminan bahawa penurunan had umur ini kelak mampu menghasilk­an demokrasi yang benar-benar matang dan rasional dengan pengundiny­a tidak mudah dipengaruh­i mana-mana pihak.

Sehubungan itu, pendidikan dan pendedahan mengenai pilihan raya dilihat perlu dilakukan lebih awal pada peringkat sekolah. Ia bukan sekadar menjadikan­nya sebahagian daripada subjek dalam mata pelajaran Sejarah ataupun Sivik, tetapi lebih daripada itu memastikan semua pelajar mempraktik­kan dan berhadapan model pilihan raya sebenar dari sekolah lagi.

Proses kematangan rakyat mengenai politik pastinya mengambil masa kerana kefahaman atau definisi masyarakat terhadap perkara ini berbeza mengikut tahap usia dan pendidikan masing-masing.

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia