Berita Harian

‘Bekas jeneral jadi ejen tawar harga tak munasabah’

Sultan Johor dedah terpaksa campur tangan elak pihak kaut untung melampau

- Oleh Nurul Amanina Suhaini bhnews@bh.com.my

Mersing: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar mendedahka­n terdapat bekas pegawai tinggi tentera termasuk jeneral bersara cuba menjual peralatan ketenteraa­n kepada pasukan komando dengan harga tidak munasabah.

Baginda yang juga Kolonel Komandan Grup Gerak Khas (GGK), bertitah akan sentiasa memerhati serta mengambil tahu perkembang­an Kor Gerak Khas dan mengingatk­an pasukan itu supaya tidak terus menerima apa saja peralatan yang dicadangka­n atau mahu dijual oleh pembekal.

“Saya perhatikan ada bekas jeneral bersara menjadi ejen menjual perkakasan tentera kepada komando dengan harga tidak masuk akal.

“Sebagai contoh, pembelian bot ‘Rigid Riding Craft’ sebanyak lapan unit dicadangka­n dengan kos RM5 juta seunit (sebelum ini).

“Harga ini tidak munasabah dan selepas saya campur tangan, saya berikan komando bot lebih baik serta menjimatka­n duit kerajaan,” titah baginda yang dimuat naik menerusi Facebook rasmi baginda, semalam.

Baginda bertitah demikian sempena majlis Perbarisan Sambutan Hari Ulang Tahun Rejimen Gerak Khas Ke-54 di Padang Kawad Markas 21 GGK Kem Iskandar, di sini, semalam.

Turut mengiringi baginda adalah Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Yang turut hadir, Panglima 21 GGK, Mejar Jeneral Datuk Hasan Ali.

Sultan Ibrahim bertitah, jika baginda tidak campur tangan dalam urusan pembelian bot terbabit, pasti ada pihak mengaut keuntungan berjuta ringgit.

“Saya sedar, tindakan saya mencampuri urusan perolehan komando ini tidak disenangi sesetengah pihak yang ingin mengaut keuntungan sebagai ejen atau orang tengah,” titah baginda.

Sementara itu, baginda turut menzahirka­n penghargaa­n kepada kerajaan yang meluluskan peruntukan hampir RM180 juta untuk perolehan beberapa peralatan khas komando termasuk payung terjun, rumah pertempura­n jarak dekat (CQB) dan kolam renang tempur di Kem Iskandar.

Harga ini tidak munasabah dan selepas saya campur tangan, saya berikan komando bot lebih baik serta menjimatka­n duit kerajaan.

Sultan Ibrahim Iskandar, Sultan Johor

 ?? [Foto Ihsan FB Sultan Johor] ?? Sultan Ibrahim berkenan memeriksa kawalan kehormat pada majlis Perbarisan Sambutan Hari Ulang Tahun Rejimen Gerak Khas Ke-54 di Padang Kawad Markas 21 GGK Kem Iskandar, Mersing, semalam.
[Foto Ihsan FB Sultan Johor] Sultan Ibrahim berkenan memeriksa kawalan kehormat pada majlis Perbarisan Sambutan Hari Ulang Tahun Rejimen Gerak Khas Ke-54 di Padang Kawad Markas 21 GGK Kem Iskandar, Mersing, semalam.
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia