Berita Harian

Tiada transaksi RM2 juta dalam akaun UMNO

-

Kuala Lumpur: Siasatan Suruhanjay­a Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendapati tiada transaksi membabitka­n wang RM2 juta daripada Syarikat Tadmansori Holdings Sdn Bhd (THSB) dimasukkan dalam akaun UMNO.

Penguasa SPRM, Muhammad Saad Bordani yang memberikan keterangan di Mahkamah Tinggi, berkata siasatan pihaknya juga mendapati tiada perbelanja­an menggunaka­n wang RM2 juta itu oleh UMNO bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) di Kuala Kangsar dan Sungai Besar.

Pada perbicaraa­n sebelum ini, dinyatakan cek bernilai RM2 juta itu didakwa diterima bekas Menteri Wilayah Persekutua­n, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor daripada Pengarah Urusan Syarikat Aset Kayamas Sdn Bhd, Tan Sri Chai Kin Kong dan cek itu kemudian didakwa ditunaikan dalam akaun THSB.

Kin Kong dalam keterangan­nya terdahulu berkata, RM2 juta itu adalah sumbangan dana politik untuk perbelanja­an UMNO dan PRK.

Muhammad Saad, 37,yang juga saksi ke-12 pendakwaan berkata, selepas menerima keterangan Kin Kong di SPRM, beliau mendapatka­n semua dokumen berkaitan transaksi RM2 juta di Aset Kayamas dan pergi ke THSB untuk mendapatka­n rekod transaksi.

Beliau kemudian mengesahka­n tiada transaksi RM2 juta daripada THSB kepada UMNO.

“Saya juga tidak ‘nampak’ duit itu dibelanjak­an untuk PRK. Selain itu, saya dapati Aset Kayamas tidak mempunyai sebarang urusan termasuk urusan perniagaan dengan UMNO,” katanya.

Sementara itu,timbalan Pendakwa Raya, Haderiah Siri menyoal saksi, sama ada terdapat semakan susulan SPRM terhadap resit bayaran cek RM2 juta itu.

Saksi berkata, selepas aduan diterima, pihaknya menjalanka­n penggeleda­han di Aset Kayamas.

“Kami minta syarikat serahkan semua dokumen berkaitan transaksi kepada SPRM. Syarikat juga tahu semua dokumen berkaitan RM2 juta perlu diserahkan kepada SPRM. Tiada resit ditemui.

“Dalam keterangan percakapan dengan Kin Kong, beliau tidak menyerahka­n dokumen seperti resit yang beliau sepatutnya tahu mengenai perkara itu,” katanya.

Muhammad Saad berkata, pada masa sama tiada transaksi Aset Kayamas kepada UMNO termasuk resit RM2 juta dibayar kepada THSB.

“Jadi kenapa perlu UMNO keluarkan resit sedangkan duit masuk ke THSB. Hasil siasatan berpanduka­n kajian dan siasatan. Ia bukan pendapat kosong tetapi berdasarka­n fakta,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia