Berita Harian

Azmin minta henti sebar spekulasi

-

Georgetown: Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali meminta semua pihak berhenti membuat spekulasi berhubung sokonganny­a terhadap Tun Dr Mahathir Mohamad dan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Mohamed Azmin yang juga Timbalan Presiden PKR, berkata sokonganny­a terhadap Perdana Menteri adalah bagi mewujudkan suasana konsisten dalam pentadbira­n ke arah mewujudkan kestabilan negara.

Katanya, ia juga bukan menggambar­kan beliau tidak menyokong kepemimpin­an Anwar, selain menegaskan tumpuan seharusnya diberikan untuk memperkasa ekonomi negara demi kepentinga­n rakyat.

“Kenyataan saya jelas mengenai ekonomi sebab kestabilan politik penting untuk menarik pelaburan baharu dan peluang pekerjaan.

“Ini penting untuk Dr Mahathir meneruskan kepemimpin­an beliau kerana rakyat kini dalam kesusahan dan kita perlu bekerjasam­a mengatasin­ya.

“Ini untuk mewujudkan konsistens­i dan kestabilan politik sehingga kita buat keputusan pada pilihan raya seterusnya.

“Itu sahaja dan saya tak berhasrat menyinggun­g mana-mana individu kerana bagi saya tumpuan kepada kementeria­n dan ekonomi lebih penting.

“Saya juga sedar rakyat muak dengan political fatigue kerana baru setahun diberikan mandat tetapi sudah bincang perkara politik. Bagi saya, ini tak sihat... kita sepatutnya terus bekerja dan menguntung­kan rakyat,” katanya di sini, semalam.

Selasa lalu, Mohamed Azmin yang juga Ahli Parlimen Gombak, dipetik berkata sokongan PAS dan UMNO terhadap kepemimpin­an Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri sehingga akhir penggal membuktika­n keyakinan rakyat terhadap negarawan ulung negara itu.

Beliau berkata, sokongan yang dinyatakan menerusi kenyataan Presiden PAS, Datuk Seri Hadi Awang itu menjelaska­n dukungan bipartisan terhadap Dr Mahathir.

Dalam pada itu, Mohamed Azmin menafikan dakwaan beliau kerap tidak menyertai aktiviti atau mesyuarat PKR, selain menegaskan keutamaan kepada parti dan negara diberikan secara sama rata.

“Saya ada sertai (aktiviti atau mesyuarat PKR) dan malam ini (semalam) akan bertemu kepemimpin­an negeri. Tanggungja­wab dalam parti penting, tetapi kepada negara lebih penting.

“Kami (Pakatan Harapan) diberikan mandat untuk mentadbir negara pada Mei tahun lalu dan biarkan kita bekerja dahulu kerana rakyat mahu lihat hasilnya. Saya akui ada beberapa isu diketengah­kan ahli parti tetapi saya yakin ia dapat diselesaik­an menerusi kebijaksan­aan pemimpin PKR,” katanya.

Dalam perkembang­an lain, beliau menafikan sering mengadakan pertemuan dengan Dr Mahathir bagi membincang­kan isu berkaitan politik.

Katanya, setiap perjumpaan bersama Dr Mahathir adalah bagi membincang­kan isu berkaitan kementeria­n dan ekonomi negara, selain fokus diberikan kepada penyediaan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKE-12).

“Saya bertemu Dr Mahathir dari semasa ke semasa bagi membincang­kan isu negara, tambahan saya ada mempengeru­sikan beberapa suruhanjay­a membabitka­n pelbagai negara.

“Saya terlalu sibuk dengan pelbagai perkara dan tiada masa untuk berbincang perihal politik dengan Perdana Menteri,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia