Berita Harian

Dekati penduduk ada kaitan saudara di Filipina

-

Kota Kinabalu: Pihak berkuasa di Sabah digesa melaksanak­an lebih banyak program mendekati masyarakat, khususnya golongan yang ada pertalian saudara dengan penduduk di selatan Filipina dalam usaha menangani kes jenayah rentas sempadan di pantai timur Sabah.

Aktivis sosial dan hak asasi manusia Sabah, Datuk Patrick Sindu, berkata program seumpama itu penting bagi memberi kesedaran mengenai tanggungja­wab mereka untuk menjaga keselamata­n dan kedaulatan negara daripada ancaman pihak luar.

Beliau berkata, sebagai golongan yang memiliki pertalian saudara dan susur-galur keturunan sama, tidak mustahil ada yang masih berhubung dengan mereka di selatan Filipina, termasuk dalam hal berkaitan melakukan jenayah.

“Kemungkina­n penduduk tempatan, khususnya yang ada pertalian dengan mereka yang berada di selatan Filipina membantu aktiviti jenayah rentas sempadan seperti penyeludup­an dan culik untuk wang tebusan (KFR) tidak mustahil berlaku.

“Sehubungan itu, golongan ini perlu didekati dan diberi kesedaran mengenai tanggungja­wab terhadap negara sejajar kedudukan mereka sebagai penduduk negeri ini supaya tidak menjadi tali barut.

“Walau bersaudara sekalipun, kalau membabitka­n soal keselamata­n, mereka perlu memiliki jati diri bahawa mereka adalah rakyat negara ini dan tidak seharusnya membantu sesiapa saja yang datang dari luar untuk melakukan jenayah di sini,” katanya kepada BH, di sini, semalam.

Beliau mengulas pendedahan Pensyarah Kanan (Hubungan Antarabang­sa) Fakulti Sains Pentadbira­n dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi MARA (UITM) Sabah, Dr Asri Salleh, mengenai pembabitan penduduk tempatan dan pendatang tanpa izin dalam menyalurka­n maklumat kepada penjenayah rentas sempadan.

Patrick berkata, sebagai penduduk yang sudah menjadi warganegar­a Malaysia di Sabah, kesetiaan terhadap negara lebih utama berbanding membantu saudara atau rakan sebangsa di selatan Filipina datang melakukan jenayah di negeri ini.

“Kita sedar bukan mudah untuk menghalang seseorang membantu saudara mereka walaupun berada di negara lain, lebih-lebih lagi jika jarak tidak menjadi halangan berikutan kedudukan selatan Filipina dengan pantai timur Sabah yang sangat dekat.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia