Berita Harian

IPU seluruh negara tahap sederhana

Sebanyak 66 daripada 68 stesen JAS catat bacaan bawah 100

- Bhnews@bh.com.my

Oleh Mohd Iskandar Ibrahim dan Hanneeyzah Bariah Baharin Kuala Lumpur: Jerebu yang melanda negara sejak kelmarin, menyebabka­n kualiti udara di seluruh negara berada pada tahap sederhana.

Berdasarka­n peta taburan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di laman web Jabatan Alam Sekitar (JAS), sebanyak 66 daripada 68 stesen JAS mencatatka­n bacaan di bawah 100.

Kuala Terengganu mencatatka­n bacaan IPU tidak sihat setakat jam 3 petang semalam susulan kebakaran hutan di beberapa wilayah di Indonesia, membawa jerebu ke Semenanjun­g.

Berdasarka­n bacaan terkini IPU di laman web JAS, kawasan Kuala Terengganu mencatat bacaan IPU tertinggi iaitu 114, manakala Tawau pula mencatat bacaan IPU baik iaitu 30.

Kelmarin, Klang, Selangor dan Rompin, Pahang mencatatka­n bacaan IPU tidak sihat iaitu pada 110 dan 103, namun bacaan di dua kawasan terbabit sejak pagi semalam mencatatka­n IPU sederhana.

Bacaan IPU 0 hingga 50 dikategori­kan sebagai baik, antara 51 dan 100 (sederhana), antara 101 dan 200 (tidak sihat), antara 201 dan 300 (amat tidak sihat) dan lebih 301 (berbahaya).

JAS dalam satu kenyataan pula berkata, kawasan mencatatka­n IPU melebihi 100, diminta menghentik­an segera sebarang aktiviti sekolah di luar kelas.

“Jika bacaan IPU lebih 200, sekolah perlu ditutup serta-merta. JAS turut memaklumka­n perkembang­an semasa kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan Kementeria­n Pendidikan.

“Orang ramai juga diminta bekerjasam­a memadam kebakaran kecil dan melaporkan kes pembakaran terbuka atau kebakaran kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) di talian 999 serta JAS di talian bebas tol, 1-800-88-2727,” katanya.

Sementara itu, di Terengganu, Pengarah Jabatan Kesihatan negeri, Dr Mohd Jusoh, berkata orang ramai terutama mereka yang berisiko seperti penghidap asma dinasihat mengambil langkah pencegahan bagi mengelak masalah kesihatan berikutan jerebu di bandar raya itu.

Beliau berkata, orang ramai juga perlu kurangkan aktiviti luar dan memakai penutup hidung jika perlu berada di luar bangunan bagi mengelak risiko kesihatan berkaitan pernafasan dan penyakit konjunktiv­itis (mata).

Katanya, setakat ini pihaknya tidak menerima peningkata­n kes berkaitan masalah pernafasan seperti asma atau penyakit mata iaitu yang paling sinonim dengan kesan akibat jerebu.

“Orang ramai yang ada masalah kesihatan akibat jerebu diminta segera mendapatka­n rawatan di klinik kesihatan atau hospital berhampira­n bagi mengelak risiko lebih buruk jika lewat berbuat demikian,” katanya kepada BH, semalam.

 ?? [Foto Muhd Zaaba Zakeria/bh] ?? Keadaan jerebu di sekitar Kuala Lumpur pada jam 7 petang semalam menunjukka­n bacaan IPU 72.
[Foto Muhd Zaaba Zakeria/bh] Keadaan jerebu di sekitar Kuala Lumpur pada jam 7 petang semalam menunjukka­n bacaan IPU 72.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia