Berita Harian

Eksport Jun menguncup 3.1 peratus

-

Eksport Malaysia pada Jun menguncup 3.1 peratus kepada RM76.17 bilion berbanding tempoh sama tahun lalu, susulan penyusutan jumlah eksport ke China.

Nilai eksport Malaysia yang rendah bagi tempoh dikaji agak mengejutka­n berbanding kaji selidik Bloomberg yang menjangkak­an pertumbuha­n 1.9 peratus.

Kementeria­n Perdaganga­n Antarabang­sa dan Industri (MITI) berkata, nilai eksport Jun juga adalah terendah berbanding jumlah yang dicatatkan pada Februari iaitu RM66.60 bilion.

“Eksport ke China susut 12 peratus kepada RM10.07 bilion susulan penguranga­n eksport produk petroleum, elektronik dan elektrikal (E&E), bijih keluli dan pembuatan logam,” katanya dalam satu kenyataan.

Meskipun nilai eksport pada Jun susut, Malaysia kekal catat lebihan dagangan RM10.26 bilion pada bulan dikaji, lebihan dagangan ke 260 bulan berturuttu­rut sejak November 1997.

MITI berkata, jumlah dagangan pada Jun menurun enam peratus kepada RM142.08 bilion berbanding Jun tahun lalu ekoran nilai dagangan lebih rendah dengan China, Hong Kong SAR, Thailand, Singapura dan Jepun.

Bagaimanap­un, dagangan dengan India, Filipina dan Amerika Syarikat (AS) dicatatkan lebih tinggi.

Jumlah dagangan dengan China susut sebanyak 12.4 peratus tahun ke tahun kepada RM23.51 bilion, mewakili 16.5 peratus daripada jumlah dagangan Malaysia pada Jun.

Bagi asas bulan ke bulan, lebihan dagangan mencatatka­n pertumbuha­n dua angka sebanyak 13.1 peratus.

Berbanding dengan Mei, jumlah dagangan Jun susut 10.8 peratus berbanding RM159.20 bilion, dengan eksport susut 9.5 peratus daripada RM84.138 bilion dan import lebih rendah daripada RM75.06 bilion.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia