Berita Harian

Prestasi dagangan merosot

Sentimen global lemah jejas pasaran

-

Bursa Malaysia mengakhiri dagangan pada minggu ini pada paras rendah di semua kaunter berkaitan indeks, kecuali indeks amanah pelaburan hartanah (REIT), dan selari dengan bursa serantau diheret turun oleh prestasi semalaman pasaran Amerika Syarikat (AS) yang lemah, kata peniaga.

Penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 0.75 peratus lagi atau 12.31 mata untuk ditutup pada paras 1,626.76 daripada 1,639.07 semasa ditutup pada Khamis.

FBM KLCI, yang dibuka 7.68 mata lebih rendah pada 1,631.39, bergerak antara 1,623.66 dan 1,631.42 sepanjang sesi dagangan semalam.

Kedudukan pasaran secara keseluruha­nnya kurang memberangs­angkan dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung iaitu sebanyak 697 berbanding 209, manakala 341 kaunter tidak berubah, 650 tidak diniagakan dan 28 lagi digantung.

Jumlah dagangan merosot kepada 2.22 bilion unit bernilai RM1.76 bilion daripada 2.45 bilion unit bernilai RM2.02 bilion semasa ditutup pada Khamis.

Ketua penyelidik Inter-pacific Securities Sdn Bhd Pong Teng Siew memberitah­u BERNAMA, penurunan semalaman yang ketara di Wall Street adalah mengejutka­n susulan pertikaian perdaganga­n As-china kembali menjadi tumpuan.

“Pelabur segera memberikan reaksi negatif terhadap ciapan Presiden AS Donald Trump bahawa beliau akan mengenakan tarif tambahan 10 peratus terhadap import barangan China bernilai AS$300 bilion,” katanya.

Mengenai Bursa, Pong berkata data dagangan Malaysia bagi Jun, yang mencatatka­n kemerosota­n dalam eksport dan import, turut mendorong sesetengah pelaburan untuk tidak memasuki pasaran di tengahteng­ah sentimen global yang lemah.

Kementeria­n Perdaganga­n Antarabang­sa dan Industri (MITI) dalam satu kenyataan semalam berkata dagangan Malaysia pada Jun menguncup enam peratus berbanding bulan yang sama pada 2018 kepada RM142.08 bilion.

Ia berkata, eksport turun sebanyak 3.1 peratus kepada RM76.17 bilion, dengan import 9.2 peratus lebih rendah pada RM65.91 bilion.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank, Public Bank dan Pchem masing-masing turun empat sen kepada RM8.65, RM21.78 dan RM7.43, Tenaga susut 18 sen kepada RM13.86 dan IHH merosot tiga sen kepada RM5.73.

Bagi saham aktif, Netx tidak berubah pada 1.5 sen, KNM merosot satu sen kepada 39.5 sen dan Ekovest turun setengah sen kepada 83.5 sen.

Indeks FBM Emas merosot 95.28 mata kepada 11,516.79, Indeks FBMT 100 turun 91.28 mata kepada 11,345.00 dan Indeks FBM Emas Shariah susut 122.14 mata kepada 11,926.52.

FBM 70 turun 138.16 mata kepada 14,356.22 dan FBM Ace susut 84.10 mata pada 4,689.34.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmat­an Kewangan turun 82.50 mata kepada 15,964.87, Indeks Perladanga­n merosot 33.77 mata kepada 6,689.17 dan Indeks Produk dan Perkhidmat­an Perindustr­ian susut 1.03 mata kepada 154.22.

Jumlah dagangan di Pasaran Utama mengecil kepada 1.32 bilion saham bernilai RM1.58 bilion berbanding 1.52 bilion saham bernilai RM1.83 bilion pada Khamis.

Pendapatan waran meningkat kepada 506.77 juta unit bernilai RM122.91 juta daripada 462.54 juta unit bernilai RM104.86 juta.

Jumlah dagangan di Pasaran ACE susut kepada 385.79 juta saham bernilai RM55.37 juta berbanding 471.70 juta saham bernilai RM84.90 juta sebelumnya.

Produk dan perkhidmat­an pengguna menyumbang 218.25 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmat­an industri (253.84 juta), pembinaan (111.97 juta), teknologi (105.01 juta), SPAC (sifar), perkhidmat­an kewangan (45.27 juta), hartanah (77.94 juta), perladanga­n (15.74 juta), REIT (24.91 juta), dana tertutup (10,400), tenaga (296.09 juta), penjagaan kesihatan (34.49 juta), telekomuni­kasi dan media (101.27 juta), pengangkut­an dan logistik (29.64 juta) dan utiliti (15.02 juta). BERNAMA

Pelabur segera memberikan reaksi negatif terhadap ciapan Presiden AS Donald Trump bahawa beliau akan mengenakan tarif tambahan 10 peratus terhadap import barangan China bernilai AS$300 bilion. Pong Teng Siew, Ketua penyelidik Interpacif­ic Securities Sdn Bhd

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia