Berita Harian

Johor paling tinggi kes buang anak

Lebih 1,000 ibu bapa dalam senarai menunggu JKM sedia jadi keluarga angkat

- Bhnews@bh.com.my

Melaka: Johor mencatatka­n jumlah paling banyak kes pembuangan bayi di negara ini setakat Mei lalu.

Timbalan Menteri Pembanguna­n Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh, berkata daripada 65 kes yang direkodkan, 13 kes adalah di Johor.

“Untuk tahun ini saja setakat Mei lalu, Johor menjadi negeri tertinggi kes pembuangan bayi sebanyak 13 kes diikuti Selangor (11) dan Kedah sebanyak lima kes.

“Secara keseluruha­nnya, sebanyak 65 kes pembuangan bayi dilaporkan dan ini adalah satu angka besar yang perlu dikurangka­n,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan lawatan ke Sekolah Harapan Negeri Melaka, di sini, semalam.

Yang turut hadir, EXCO Wanita, Kebajikan dan Pembanguna­n Luar Bandar negeri, Ginie Lim Siew Lin, Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri, Burhanuddi­n Bachik dan Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), Md Azhan Samat.

Yeoh yang juga Ahli Parlimen Segambut, berkata bermula dari 2010 hingga 2018, statistik menunjukka­n 697 kes pembuangan bayi berlaku di seluruh negara.

“Ini adalah jumlah yang besar dan daripada 697 kes, 64 peratus atau 446 bayi ditemui dalam keadaan tidak bernyawa dan ini amat merugikan negara.

“Tempat pembuangan bayi paling banyak adalah di kawasan kediaman diikuti tandas awam dan tempat pembuangan sampah,” katanya.

Sementara itu, JKM merekodkan kira-kira 1,000 ibu bapa angkat dalam senarai menunggu bersedia untuk menerima bayi mereka memulakan hidup baharu.

Yeoh berkata, bagi mengurangk­an kes pembuangan bayi secara berterusan, ibu hamil anak luar nikah khususnya remaja terlanjur sehingga mengandung boleh merujuk kepada JKM terus berhubung perkara itu.

“Sebenarnya ada ibu bapa yang sedang menunggu untuk menjaga bayi ini (luar nikah), senarai menunggu JKM untuk menjadi ibu bapa angkat ada 1,000 nama bersedia menerima dan memberikan peluang kehidupan kepada bayi ini.

“Kumpulan ibu ini jangan risau kerana bayi anda akan selamat dengan kami (JKM), kami mahu beri bantuan selamatkan nyawa bayi itu dulu,” katanya.

 ?? (Foto Khairunisa­h Lokman/bh) ?? Yeoh menyampaik­an sumbangan ketika melawat Sekolah Harapan Negeri di Melaka, semalam.
(Foto Khairunisa­h Lokman/bh) Yeoh menyampaik­an sumbangan ketika melawat Sekolah Harapan Negeri di Melaka, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia