Berita Harian

Gelombang feminisme warnai mesej kedamaian

Suara wanita dalam lukisan amat istimewa, berbeza antara Timur, Barat

- Oleh Hafizah Iszahanid hafiza@bh.com.my

Kuala Lumpur: Dunia Barat meraikan artis wanita seperti Georgia O’keeffe, Frida Kahlo dan Sturtevant kerana keupayaan mereka bersuara menerusi karya sehingga O’keeffe misalnya disebut sebagai Ibu Modenisme Amerika.

Suara wanita dalam lukisan juga punya kedudukan istimewa dalam sejarah seni halus tempatan menerusi sentuhan artis seperti Fatimah Chik, Ruzaika Omar Basree, Sharifah Zuriah Al Jefri dan Datuk Sharifah Fatimah Syed Zubir.

Sungguhpun begitu, di Malaysia atau Asia keseluruha­nnya, terma feminisme masih kurang difahami. Secara umum dalam tanggapan kebanyakan khalayak di Asia, ia seakan-akan mempunyai konotasi yang tidak elok.

Ia selalu dilihat dalam kaca mata gerakan feminisme Barat yang menekankan persamaan hak dan hal berkaitan tubuh badan sendiri, sekali gus seakan isu terpencil, kecil dan tidak layak diperkatak­an.

Justeru, ia menimbulka­n persoalan, apakah sebenarnya feminisme pada kaca mata penggiat seni tempatan?

Isu ini dikupas pada Forum Seni Halus di Balai Seni Negara di sini, yang menampilka­n kurator, Badrolhish­am Mohd Tahir; pensyarah Jabatan Seni Halus, Universiti Prince Songkla, Thailand, Prof Madya Jehabdullo­h Jehsorhoh dan Pengarah Roqueart, Beverly Yong dengan dikendalik­an penulis, Hazwani Rameli atau lebih dikenali sebagai Rebecca Ilham.

Forum itu dianjurkan bersempena pameran Kali Ini Kita Bersama: Serantau Sebahagian yang menghimpun­kan karya pelukis wanita dari empat negara di Asia Tenggara, iaitu Malaysia, Singapura, Indonesia dan Thailand bermula 15 Julai sehingga 15 Ogos ini.

Bagaimanap­un, kupasan feminisme rupanya mengundang emosi apabila beberapa penonton mempersoal­kan pandangan panel yang kelihatan merendahka­n maksud feminisme, sekali gus pengkarya wanita.

Badrolhish­am misalnya menyebut cabaran artis wanita di negara ini bersifat paradoxica­l, iaitu mereka tiada cabaran disebabkan subjek dalam konteks pelukis tempatan tidak menceritak­an secara khusus masalah wanita.

“Pertama, isu wanita itu adalah sebagai pegangan diri yang banyak dilingkari perkara harian misalnya kesibukan wanita bekerja, ia sangat berbeza berbanding di Barat,” katanya.

Oleh itu, tegas Badrolhish­am, dalam konteks dunia gerakan feminisme berlaku paradoxica­l perjuangan idea hak kesamarata­an, selain ada yang pergi lebih jauh dan radikal misalnya mengenai tubuh wanita itu sendiri malah ada sesetengah wanita yang tidak setuju dengan peranan wanita.

“Pandangan wanita terhadap feminisme itu juga berlainan antara wanita Barat dan Timur yang menentang idea kebebasan Barat dalam konteks nilai.

“Jadi kalau konteks digunakan untuk melihat masalah di Pattani, kita akan tertanya adakah cabaran dalam seni itu masih valid atau tidak?

“Kalau isu wanita, adakah masih sesuai untuk wanita hanya melukis tentang diri dia atau tubuhnya seperti yang diperjuang di Barat,” katanya.

Pandangan Badrolhish­am ada benarnya jika ia menjadi ukuran kepada himpunan karya pelukis wanita Thailand. Walaupun himpunan karya dalam pameran itu mengangkat pelbagai tema, apa yang paling terampil ialah kerja seni mereka.

Karya mereka bukan hanya seputar dunia kewanitaan semata-mata, bahkan pengalaman dan persekitar­an yang dibancuh dengan emosi melahirkan cerita mengugah jiwa.

Nurufirdao­s Ding misalnya, tampil dengan dua karya Malay dan Memories of The Ikhwan yang membawa cerita sengsara.

Malay dihasilkan daripada gumpalan kertas surat khabar membentuk potret budak lelaki yang sedang menangis. Di atas potret itu terlihat peta tiga wilayah yang bergolak di selatan Thai, iaitu Pattani, Narathiwat dan Yala.

Malay ternyata sangat kuat dari sudut naratifnya walaupun tekniknya sangat biasa. Jika kita hendak menikmati kemewahan menerusi lukisan, gadis 27 tahun graduan seni halus Universiti Prince of Songkla ini sebaliknya menyentak jiwa mereka yang mahu berfikir.

“Saya tidak tahu bercerita lanjut mengenai masa hadapan tetapi lukisan ini adalah harapan saya dan adik-adik.

“Apakah yang menunggu kami dalam kedudukan wilayah kelahiran yang sentiasa bergolak. Selain harapan, karya ini juga gambaran ketakutan kami terhadap siri serangan dan pengeboman yang masih berlaku,” katanya.

Selain Malay, kekuatan sama dapat dilihat dalam karya Kameelah-i-lala menerusi The Bride. Catan ini adalah antara siri Bride yang dihasilkan­nya dan ia naratif balas yang meruntun jiwa.

Karya ini memaparkan catan pengantin tanpa wajah berdiri dengan latar gelap. Ia suara wanita yang tidak dapat berkahwin kerana bakal suaminya dibunuh pada hari pernikahan­nya.

Hal sama dapat dilihat dalam Attachment dan Attachment 2 karya Salwanee Hajisamae. Kedua-dua karya ini menggunaka­n produk domestik yang melingkari kehidupan wanita Selatan Thai. Ia dihasilkan daripada serpihan kain yang dijahit dan membentuk wajah wanita.

“Apa yang saya mahu sampaikan adalah ketabahan wanita Pattani yang kehilangan lelaki mereka kerana terbunuh dalam konflik berdarah yang belum bernoktah,” katanya.

Feminisme walaupun secara asasnya membawa maksud kepada perjuangan hak wanita dan kesamarata­an gender, ia ternyata melepasi sempadan itu di tangan pelukis wanita Thailand.

Kehidupan di selatan Thailand yang dilanda konflik, selain penggunaan bahasa Melayu yang perlahan-lahan terhakis, pelukis wanita Melayu Thailand membawa ukuran feminisme yang baharu.

Hal itu diakui Jehabdullo­h yang menyebut, pelukis wanita selatan Thai memberi definisi baharu feminisme apabila membawa tema sejagat besar iaitu hak bernegara dan penindasan.

“Karya mereka ini secara jelas memperliha­tkan persekitar­an dan pengalaman jika digaul sebaiknya mampu menjelmaka­n karya yang kuat.

“Kelahiran pelukis wanita di wilayah selatan Thailand sebenarnya hal baharu. Sebelum ini seni halus tidak menjadi pilihan wanita di sana.

“Kebanyakan mereka menuntut dalam bidang yang lebih profesiona­l selain tidak ramai yang berpeluang untuk melanjutka­n pengajian kerana tuntutan sifat kewanitaan mereka yang memerlukan lebih tumpuan terhadap isu domestik,” katanya.

Bagaimanap­un tegas Jehabdullo­h, sejak 10 tahun kebelakang­an ini lebih ramai wanita di selatan Thailand yang mengkhusus dalam bidang seni halus.

Apa yang berlaku ketika ini tegas beliau, adalah gerakan memujuk oleh generasi muda Melayu selatan Thailand yang mahukan kedamaian.

“Kehidupan dalam pergolakan dan konflik tidak menjanjika­n apa-apa. Kami mahu kedamaian dan mahu suara itu sampai kepada kerajaan,” katanya.

Pandangan wanita terhadap feminisme itu juga berlainan antara wanita Barat dan Timur yang menentang idea kebebasan Barat dalam konteks nilai.

Badrolhish­am Mohd Tahir, Kurator

 ??  ?? Dari kiri Jehabdullo­h, Badrolhish­am, Beverly dan Hazwani pada Forum Seni Halus di Balai Seni Negara.
Dari kiri Jehabdullo­h, Badrolhish­am, Beverly dan Hazwani pada Forum Seni Halus di Balai Seni Negara.
 ??  ?? Pameran lukisan menghimpun­kan pelukis wanita Asia Tenggara di Balai Seni Lukis Negara.
Pameran lukisan menghimpun­kan pelukis wanita Asia Tenggara di Balai Seni Lukis Negara.
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia