Berita Harian

Jual sendiri elak orang tengah ‘tekan’ pengguna

- ‘Hantu durian’, Kuala Lumpur

Musim durian datang lagi. Tahun ini kelihatann­ya sungguh ‘menjadi’ kerana di mana-mana dapat dilihat gerai jualan durian termasuk dalam talian terutama di media sosial.

Namun kita masih merungut harga durian mahal. Tidak seperti sekitar 1980-an dan 1990-an apabila durian hanya dijual secara longgok.

Dengan harga RM10 paling kurang pun tetap akan dapat membawa pulang tiga biji durian. Malah, pernah satu musim, durian dijual terlalu murah sehingga RM1 sebiji. Musim durian dulu cukup mewah untuk kita sebagai pengguna menikmatin­ya.

Namun, hari ini jika dilihat kebanyakan peniaga menjual durian mengikut timbangan berat. Tiada lagi durian dijual longgok. Paling murah RM10 sekilogram. Itu pun mengikut jenis.

Menambahka­n ‘mahalnya’ harga durian sekarang disebabkan semakin banyak ‘jenama’ baharu muncul sehingga mencetus persoalan betulkah durian berkenaan terbaik seperti didakwa atau sekadar strategi perniagaan mengaut keuntungan berlipat ganda?

Bagi durian berkualiti premium seperti ‘Musang King’ harganya sekitar RM35 hingga RM60 sekilogram. Durian jenis lain seperti ‘udang merah’, D13 dan ‘duri hitam’ (sekadar menyebut beberapa jenis) harganya juga bukan saja dianggap mahal, tetapi kadang kala terlalu mengarut membuatkan kita berfikir banyak kali untuk membelinya.

Malah ada yang menganggap harga sebiji durian kini menyamai ‘harga emas’ kerana ada yang boleh mencecah puluhan, malah ratusan ringgit. Memang tidak masuk akal.

Ramai menyalahka­n penjual durian kerana meletakkan harga tinggi sedangkan buah berkenaan dibeli secara pukal daripada pemilik kebun di kawasan kampung yang harganya jauh lebih murah.

Rasanya sudah tiba masanya pemilik kebun atau dusun durian menjual secara terus kepada orang ramai daripada menolaknya kepada peniaga atau orang tengah yang akan mengaut keuntungan berlipat kali ganda.

Hebahkan saja jualan terus durian mereka di media sosial, rasanya ramai peminat durian akan datang mencari. Mereka juga yang lebih untung apabila durian tidak lagi dijual menerusi orang tengah yang pastinya akan membeli dengan harga cukup rendah berbanding dijual terus kepada pelanggan.

Kalau mengharapk­an kerajaan mengawal harga durian yang semakin tidak masuk akal ini, rasanya memang tidak nampak ‘bayangnya’. Malah harga raja buah ini dijangka terus meningkat berikutan keputusan mengekspor­tnya ke luar negara.

Sebagai pengguna kita tidak mahu harga durian pada musim akan datang terus melambung tinggi membuatkan ramai rakyat kita nanti hanya ‘mampu tengok’ saja.

 ?? (Foto Hiasan) ?? Musim durian peluang pemilik kebun jana pendapatan.
(Foto Hiasan) Musim durian peluang pemilik kebun jana pendapatan.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia